Monday, February 21, 2011

'Hadiah mahal' kekasih siber

SEPANG: Lagi wanita menjadi mangsa cinta Internet, kali ini seorang wanita kerugian RM5,000 selepas terpedaya helah seorang teman lelaki yang baru dikenali melalui laman sosial sejak Januari lalu.

Lelaki terbabit yang berlakon sebagai kekasih romantis memperdayakan mangsa yang juga seorang warga Singapura berusia 49 tahun apabila memberitahu menghantar barang berharga kepada wanita berkenaan pada awal bulan ini sebagai tanda persahabatan, namun bungkusan itu kini ditahan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Menurut sumber, lelaki dikenali sebagai David Micheal itu berjanji akan menghantar barang kemas dan jam tangan berjenama sebagai tanda perkenalan mereka menyebabkan mangsa termakan kata-kata manis itu.

“Bagaimanapun, selang beberapa hari kemudian suspek memberitahu barang yang dihantar itu tidak tiba tepat pada masanya kerana ditahan kastam Malaysia.


“Pada 10 Februari, seorang lelaki warga Korea menelefon mangsa supaya memasukkan wang RM5,000 atas nama Ross Stephanie yang kononnya Setiausaha Kastam Malaysia bagi melepaskan barang itu,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan wang itu kerana terlalu percayakan lelaki terbabit.

“Mangsa yang sudah membayar wang itu dan menyangka segala urusan elesai terkejut apabila lelaki terbabit sekali lagi menghubunginya memberitahu barangan itu masih ditahan dan perlu memasukkan RM10,000 lagi bagi menyelesaikannya.


“Mangsa yang mula mengesyaki sesuatu tidak kena dengan taktik lelaki terbabit pergi ke KLIA bagi membuat pengesahan berkaitan barangan itu,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang berjumpa pegawai menguruskan penghantaran barangan itu terkejut apabila diberitahu bungkusan kotak yang didakwa dihantar lelaki terbabit tidak wujud.


“Ketika itu mangsa menyedari sudah ditipu lelaki terbabit.


“Mangsa membuat laporan di Balai Polis KLIA untuk tindakan susulan,” katanya.


Difahamkan, sindiket penipuan Internet menyasarkan wanita yang lebih berusia dan kesepian bagi menjalankan modus operandi mereka seterusnya bermain-main kata supaya wanita yang baru dikenali ‘jatuh cinta’ kepada mereka.


Mangsa hanya menyedari perwatakan romantis lelaki terbabit lakonan semata-mata apabila ditipu selepas wang diberikan lesap.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hadiahmahalkekasihsiber/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...