KUALA LUMPUR, 21 Feb: Tindakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberikan dividen hanya 5.8 peratus tidak wajar kerana pendapatan kasarnya telah meningkat 40 peratus.
Sepatutnya, KWSP memberikan dividen yang lebih besar kerana peningkatan bursa saham adalah sebanyak 19.3 peratus sedangkan dividen KWSP hanya naik 2.7 peratus dari 5.65 peratus tahun 2009 ke 5.8 peratus sahaja untuk tahun lepas.
Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga anggota Parlimen Bagan.
Semalam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.8 peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 yang meningkat 15 mata asas, berbanding kadar 5.65 peratus yang dibayar pada 2009.
Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pencapaian itu menggambarkan tahun memberangsangkan yang mana pendapatan pelaburan kasar dana persaraan tersebut mencecah rekod tertinggi dalam sejarah sebanyak RM24.06 bilion.
"Ia merupakan peningkatan 39.76 peratus berbanding RM17.22 bilion pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan pada 2009," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Kata Lim Guan Eng, seorang akauntan bertauliah, DAP melahirkan rasa terkejutnya dengan pengumuman ini kerana ia tidak selaras dengan kenaikan 40 peratus pendapatan KWSP sebanyak RM24.06 billion berbanding RM17.22 billion pada tahun 2009.
Dividen KWSP adalah salah satu sumber pendapatan penting kepada 11 juta pekerja di Malaysia.
"DAP berharap KWSP dapat menjelaskan kenapa ia berlaku," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30973:-kwsp-dividen-58-peratus-tidak-memadai&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124
No comments:
Post a Comment