TRIPOLI: Angkatan tentera Libya membunuh 35 orang di timur bandaraya Benghazi, tengah malam semalam dalam insiden terburuk pergolakan di negara itu, lapor Organisasi Pemerhati Hak Kemanusiaan sebagai memetik kenyataan saksi dan sumber hospital.
Bantahan terhadap pemerintahan pimpinan Muammar Ghaddafi yang tercetus minggu ini ekoran kejayaan di Tunisia dan Mesir ditangani pihak kerajaan dengan kekerasan.
Organisasi pemerhati yang beribu pejabat di New York itu berkata, pembunuhan tengah malam semalam menjadikan jumlah kematian mencatat 84 orang sejak tiga hari bantahan bermula yang tertumpu di Benghazi kira-kira 1,000 kilometer di timur Tripoli.
Insiden semalam berlaku apabila pihak tentera melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang membantah kematian seorang penunjuk perasaan pada hari sebelumnya selepas menghadiri acara pengebumian mangsa.
“Anggota tentera khas yang setia dengan Muammar berusaha untuk mengekalkan kedudukan pemimpin itu dan mereka bertempur dengan orang ramai di jalanan,” kata penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammed.
Menurut seorang pemerhati politik, keadaan di Libya berbeza dengan Mesir kerana Maummar bijak mengatur masalah sosial yang timbul, selain dihormati di negaranya. - Reuters
No comments:
Post a Comment