KUALA LUMPUR: “Dia bukan hanya meninggalkan saya dan tiga anak kami tanpa sebarang nafkah, tetapi turut meninggalkan beban hutang menyebabkan kami sekeluarga hidup serba kekurangan dan terpaksa berhutang dengan bank bagi melangsaikan hutangnya,” kata Lau Yiek Kiew, 56, yang dihimpit kesusahan akibat sikap bekas suaminya yang meminjam along.
Yiek Kiew berkata, sehingga kini rumah diduduki terpaksa digadai kepada bank sebanyak RM270,000 pada 2009 yang dibuat atas nama anak sulungnya dengan bayaran bulanan RM1,000 selama 35 tahun.
Menurutnya, rumah itu terpaksa digadai bagi membayar hutang bekas suaminya yang bertimbun dengan along sehingga anaknya berdepan risiko diisytiharkan muflis gara-gara tidak dapat membayar ansuran bulanan itu.
“Saya memberi peluang kepadanya berubah sikap, namun tidak menyangka dia tidak serik, malah membuat hutang baru menyebabkan saya nekad bercerai dengannya.
“Sebelum ini pun saya sudah melangsaikan hutangnya RM80,000 dengan bantuan saudara-mara yang meminjamkan wang,” katanya ketika hadir pada sidang media di Wisma MCA, di sini.
Beliau berkata, duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suaminya RM70,000 juga habis digunakan untuk perjudian.
“Pada 27 Januari lalu kira-kira jam 3.45 petang, saya dikejutkan dengan kehadiran beberapa samseng along yang menyimbah cat merah ke dinding rumah saya. Ketika itu saya menyedari bekas suami masih berhutang dengan along,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ceraisuamikeranahutang/Article/index_html
No comments:
Post a Comment