DUBAI - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul-Aziz masih belum mangkat, kata seorang penasihat kepada seorang ahli keluarga diraja itu semalam.
Penjelasan itu sekali gus menafikan khabar angin mengenai kemangkatannya yang menyebabkan harga minyak naik di pasaran dunia.
"Khabar angin itu (mengenai kemangkatan Raja Abdullah) adalah tidak benar," jelas sumber dari Arab Saudi.
Abdullah yang berusia 87 tahun berehat di Maghribi sejak Januari lalu selepas tinggal selama dua bulan di Amerika Syarikat (AS) untuk menjalani dua pembedahan berikutan masalah ketulan darah beku yang mengganggu kesihatannya.
Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud al-Faisal pula yang berada di ibu negara Maghribi, Rabat terpaksa menangguhkan lawatannya ke Algeria ekoran terdapat tugas di negara berkenaan, jelas seorang pegawai Kementerian Luar Arab Saudi tanpa mengulas lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Putera Saud turut menjelaskan bahawa kesihatan Raja Abdullah berada dalam keadaan yang amat baik.
"Saya ingin memberi jaminan sekali lagi mengenai keadaan kesihatan Raja Abdullah. Baginda berada dalam keadaan yang sihat. Doktor-doktor sedang melakukan rawatan terapi," kata Putera Saud.
Pejabat White House mengakui Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama telah bercakap dengan Raja Abdullah mengenai situasi politik di Mesir pada Rabu lalu.
Selain tuan rumah tempat beribadat paling suci bagi penganut Islam dan tempat lahir pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Arab Saudi dilihat penting untuk menentang militan Islam.
Arab Saudi sentiasa membuktikan kepada sekutu-sekutunya bahawa tidak akan wujud kekosongan kuasa walaupun masalah kesihatan menjejaskan pemerintahan baginda.
Sejak kemangkatan pengasas Arab Saudi, Raja Abdul-Aziz pada tahun 1953, negara tersebut hanya diperintah oleh anak-anaknya.
Putera Mahkota, Sultan Abdul-Aziz yang merupakan seorang lagi anak Raja Abdul-Aziz sentiasa mendapatkan rawatan sejak dua tahun lalu.
Baginda kembali mentadbir negara sewaktu ketiadaan Raja Abdullah.
Ekoran Raja Abdullah dan Sultan kini sudah berusia dalam lingkungan 80-an, timbul spekulasi bahawa Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef, 76, bakal mengambil alih kuasa pada masa depan.
Khabar angin mengenai kematian baginda mula tersebar dalam laman Islam Times.
Laman web Bisness Insider di Internet kemudian melaporkan berita mengenai kemangkatan Raja Abdullah yang disiarkan Islam Times.
Dalam laporan itu, Raja Abdullah dilaporkan diserang penyakit jantung selepas berdebat dengan Obama menegnai situasi di Mesir.
Menurut laporan itu, beberapa doktor gagal menyelamatkan baginda.
Laman itu menyatakan, berita kematian baginda tidak didedahkan ekoran keadaan tegang yang berlaku di Mesir dan Tunisia apabila rakyat bangkit menentang pemerintahan yang dianggap tidak membawa kemakmuran ekonomi. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment