Friday, February 11, 2011

'Joey sendiri mengaku'

KAJANG: Isteri kepada penyanyi dan pelakon Joey atau Zulkifli Daud mendakwa lelaki itu membuat pengakuan sendiri mempunyai hubungan sulit dengan dramatis Norwati Sadali (Watie) sebelum keluar menghilangkan diri beberapa hari dari rumah mereka di Ampang.

Noraini Mohamad Nasir, 44, (plaintif) berkata demikian ketika menjawab soalan peguam syarienya, Amli Embong di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, semalam.


Menurutnya, pada penghujung Mei 2010, Joey, 37, (defendan) mengaku mempunyai hubungan sulit dan keluar dari rumah mereka sebelum pulang semula pada 4 Jun 2010.

“Sepanjang tempoh kehilangannya, saya ada beberapa kali menghubungi melalui telefon malah ada menghantar SMS bagaimanapun tidak berjawab. Pada 4 Jun 2010, dia ada menghubungi saya dan mahu berjumpa untuk berbincang jadi kami berjumpa di luar rumah. Dia datang bersama seorang temannya yang dikenali sebagai ‘Ah Chong’.


“Dia melafazkan talak bagaimanapun saya tidak mendengarnya sendiri kerana ketika itu saya lari masuk ke dalam rumah. Ah Chong pula ada menghubungi saya dan mengatakan bahawa Joey ada melafazkan talak terhadap saya,” katanya.


Noraini berkata, selepas Ah Chong memaklumkan perkara itu kepadanya, dia terus menghubungi Joey bagi mendapatkan penjelasan, bagaimanapun gagal.

AMLI: Ketika Ah Chong menghubungi puan adakah dia beritahu bagaimana bunyi lafaz talak itu?

NORAINI: Dia cuma cakap talak sudah jatuh.


AMLI: Selepas itu ada kamu hubungi defendan?

NORAINI: Ada tetapi tidak berjawab.

AMLI: Selepas itu ada defendan balik ke rumah?

NORAINI: Ada.


AMLI: Dia balik untuk apa dan bila tarikh dia balik?

NORAINI: Joey balik pada 8 Jun 2010 dan mahu rujuk kembali.


AMLI: Ada defendan lafazkan apa-apa?

NORAINI: Ada, Joey lafazkan “Aku, Zulkifli Daud dengan ini rujuk kembali kepada kamu Noraini Mohd Nasir.


AMLI: Ada saksi?

NORAINI: Tiada.


AMLI: Di mana kejadian ini berlaku?

NORAINI: Di dalam bilik rumah kami. Ketika melafazkan kata-kata rujuk, Joey meletakkan tangan kanan di dahi saya, manakala sebelah tangan lagi diletakkan di atas Al-Quran.


AMLI: Berbalik kepada kejadian melafazkan cerai. Adakah kamu memaksa defendan melafazkan cerai?

NORAINI: Tidak tetapi saya merayu kepadanya supaya jangan ceraikan saya.


AMLI: Bagaimana keadaan defendan ketika itu?

NORAINI: Dia dalam keadaan biasa dan waras.


AMLI: Selepas kejadian rujuk, ada puan maklumkan kepada sesiapa?

NORAINI: Ada iaitu kepada adik tiri saya dan seorang rakan kami, Mathias Ali. Menurut rakan kami itu, Joey ada bertanya kepadanya sama ada rujuk yang dibuat itu sah atau tidak.


AMLI: Jadi apa yang Mathias beritahu mengenai rujuk itu?

NORAINI: Mathias katakan rujuk itu tidak sah kerana tidak ada saksi.


AMLI: Memandangkan lafaz cerai tidak didengari puan sendiri dan lafaz rujuk pula tidak ada saksi, adakah puan berani bersumpah kepada mahkamah bahawa keterangan ini adalah benar?

NORAINI: Berani.


Prosiding di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 27 April ini bagi membolehkan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Joey menyoal balas plaintif.

Pasangan itu bernikah pada 4 Mei 2005 dan tidak dikurniakan cahaya mata dan mempunyai seorang anak angkat berusia empat tahun.


Noraini sebelum ini memfailkan pengesahan lafaz cerai yang didakwa ada dilafazkan Joey pada 4 Jun 2010, mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, selepas seorang rakan defendan memaklumkan plaintif ada mendengar lelaki itu melafazkan cerai pada Jun lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Joeysendirimengaku/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...