Thursday, March 24, 2011

Air di Tokyo tidak selamat untuk bayi


SEORANG lelaki memperoleh air dari sebuah lori tangki di wilayah Chiba, dekat Tokyo semalam.


TOKYO – Pihak berkuasa Jepun menasihati agar bayi tidak diberi minum air paip di bandar raya ini ekoran ia mengandungi tahap radiasi yang tinggi.

Menurut pihak berkuasa, air di loji pemprosesan air bersih untuk kegunaan 13 juta penduduk di sini mengandungi bacaan tahap radioaktif berjumlah 210 becquerel iaitu dua kali ganda melebihi tahap selamat untuk bayi.

Pencemaran itu berpunca daripada kebocoran partikel radioaktif dari beberapa reaktor nuklear loji Fukushima Daiichi yang meletup selepas gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter dan tsunami yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu.

“Pencemaran ini adalah kesan langsung dari loji nuklear Fukushima Daiichi,” kata seorang pegawai kerajaan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk Tokyo termasuk rakyat asing yang bekerja di Jepun berpusu-pusu meninggalkan bandar raya ini sejak hujung minggu lalu ekoran pencemaran radioaktif dalam sumber makanan dan air.

Mereka menaiki kenderaan darat seperti kereta api dan penerbangan menuju ke bandar-bandar di barat Jepun.

Sementara itu angka rasmi mangsa yang maut dalam tragedi tersebut itu setakat ini meningkat kepada 9,199 orang dengan 13,786 lagi masih hilang manakala anggaran kerugian pula mencecah AS$300 bilion (RM907.6 bilion).

Sementara itu, Pentadbiran Dadah dan Makanan Amerika Syarikat (AS) menyatakan ia menghentikan import susu, sayur dan buah-buahan dari empat wilayah di timur laut Jepun yang berada dekat dengan loji nuklear tersebut.

Hong Kong turut mengikut jejak sama dengan mengharamkam import barang tenusu, buah-buahan, sayur-sayuran dan daging dari lima wilayah dekat loji nuklear tersebut.

Para pekerja di loji nuklear yang membekalkan tenaga elektrik itu bertungkus-lumus untuk membaiki sistem penyejukan yang terletak 250 kilometer dari Tokyo. – Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...