Thursday, March 24, 2011

'Paria' digugurkan dari Interlok, kata Muhyiddin

'Paria' digugurkan dari Interlok, kata Muhyiddin
Joseph Sipalan
Mac 24, 11
11:14am

Perkataan 'paria' akan digugurkan dari novel Interlok yang digunakan di sekolah menengah sebagai bahan sastera, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NONEKatanya, perkataan itu yang mencetuskan kemarahan dan demonstrasi daripada masyarakat India akan digugurkan dari versi yang digunakan di sekolah.

Menurut Muhyiddin, panel bebas yang ditubuhkan bagi mengkaji kesesuaian novel tersebuk, termasuk tiga perwakilan India sepakat menggantikan perkataan paria dengan "golongan yang sama".

"Dengan persetujuan yang dicapai, Kementerian (Pelajaran) menganggap isu ini selesai,” katanya semasa sesi soal jawap di parlimen hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Muhyiddin berkata panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan "tali" dipinda kepada "taali".

"Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya.

"Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) bersama empat lagi pertanyaan ahli Parlimen lain di Dewan Rakyat berhubung kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara yang menjadi teks Komponen Sastera (Komsas) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh perkara dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan "errata" di dalam novel terbabit bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India.

Katanya, enam perkara lain juga telah dapat diselesaikan kerana penulis sekali lagi telah bersetuju untuk meminda perkata "tuhan" kepada perkataan "dewa" dan menggugurkan frasa "orang berkulit hitam" daripada novel itu.

"Oleh yang demikian, kesemua ahli panel termasuk wakil masyarakat India telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit untuk membuat suntingan yang wajar kepada novel ini dalam cetakan akan datang," katanya.

Selain itu, katanya, kementerian akan menyediakan satu glosari untuk memperjelaskan beberapa frasa dan konsep yang terkandung dalam novel Interlok bagi memudahkan murid memahami teks dan konteks novel yang memaparkan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.

"Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik. Ini adalah satu testimoni yang amat nyata bahawa di negara kita tidak ada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja perundingan.

"Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit manapun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar.

"Episod Interlok ini menjadi bukti kepada kita betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat menghormati antara kaum selaras dengan Gagasan 1Malaysia terus subur di negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata Interlok adalah sebuah karya kreatif yang menggabungkan fakta sejarah sosial dan imaginasi pengarang.

Katanya, melalui adunan realiti dan imaginasi, novel itu cuba memaparkan suatu bentuk kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu sebelum merdeka.


http://malaysiakini.com/news/159519

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...