kalidevi@hmetro.com.my
KECEWA...Azlina (kiri) menceritakan kepada Chong (tengah) bagaimana dia ditipu.
KUALA LUMPUR: Akibat ‘mabuk cinta’ dengan seorang lelaki warga Pakistan melalui perkenalan di Internet sejak September tahun lalu, seorang wanita menjadi mangsa penipuan sehingga kerugian RM300,000.
Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Azlina, 49, berasal dari Pulau Pinang tidak pernah bersua muka dengan ‘kekasihnya’ itu, tetapi terpesona dengan perwatakan suspek seolah-olah alim dan mampu membimbingnya sebagai suami yang soleh.
Azlina yang bertugas sebagai sebagai kerani berkata, kisah cinta bersama kekasih yang dikenali sebagai Hassan, 50, yang mendakwa berasal dari Atlanta, Amerika Syarikat dan bekerja sebagai ahli perniagaan bermula di satu laman web sosial.
“Lelaki berkenaan sentiasa berbicara mengenai hukum Islam dan perhubungan kami berjalan lancar,” kata Azlina ketika membuat pendedahan di Biro Pengaduan MCA, semalam.
Menurutnya, Hassan juga tidak ingin menggunakan kamera web kerana mendakwa dia tidak ingin melihat tubuh badan seperti yang dilakukan lelaki lain kerana ia adalah salah di sisi agama sebaliknya mereka saling bertukar gambar.
Katanya, melalui gambar pasport yang dihantar kepadanya, Hassan menyerupai lelaki warga Pakistan dan mendakwa dia adalah rakyat Amerika dan mempunyai kacukan Pakistan.
“Pada Oktober tahun lalu, dia melamar dan meminta saya berhijrah ke Amerika selepas berkahwin dengannya dan saya pun bersetuju,” katanya.
Bagaimanapun, lelaki itu mula menunjukkan tembelangnya apabila meminta dipinjamkan RM300,000 dengan alasan mengalami masalah kewangan.
Azlina memberikan wang berkenaan selepas mengeluarkan simpanan dan dipinjam daripada keluarga.
“Saya menghantar wang berkenaan secara berperingkat melalui khidmat syarikat penghantaran wang sejak November lalu hingga bulan ini,” katanya.
Azlina berkata, dia menerima panggilan terakhir daripada Hassan pada Khamis lalu, bagaimanapun terkejut apabila dua hari kemudian, seseorang yang mengaku rakan Hassan memaklumkan lelaki berkenaan meninggal dunia di Hospital St Mark, Atlanta, Georgia akibat dibunuh.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, sebanyak 12 kes membabitkan penipuan Internet Afrika direkodkan pihaknya sejak tahun lalu.
“Kami dapati semua mangsa ditipu melalui taktik sama,” katanya.
No comments:
Post a Comment