Thursday, March 24, 2011

Padah percaya arahan Internet

KUALA TERENGGANU: Terpedaya dengan e-mel yang disangka datangnya dari sebuah bank, seorang lelaki kerugian RM700 apabila dia mengemas kini data akaun bank miliknya mengikut arahan yang tertera dalam Internet, Ahad lalu.

Mangsa yang berusia 32 tahun dan berasal dari Dungun mengemas kini akaun miliknya melalui Internet dengan mengikut arahan tertera dalam e-mel berkenaan.


Bagaimanapun dia curiga selepas itu kerana sebelum ini bank berkenaan tidak pernah meminta pelanggannya membuat kemas kini akaun melalui Internet dan memberi arahan menerusi e-mel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Azmi Adam, berkata mangsa memeriksa akaun simpanannya pada hari berikut dan mendapati ia berkurangan RM700.


“Terkejut dengan kehilangan wangnya, mangsa membuat semakan dengan bank dan diberitahu dia sudah membuat urusan dengan laman web palsu.


“Pihak bank mendakwa tidak pernah mengarahkan pelanggannya membuat kemas kini akaun menerusi internet dan tidak memberi sebarang arahan kepada pelanggannya menerusi e-mel,” katanya.

Beliau berkata, merasa tertipu dengan keadaan berkenaan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Paka pada jam 12.30 tengah hari Jumaat lalu.


“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat tindak balas apabila menerima sebarang e-mel daripada mana-mana pihak untuk mengelak daripada ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

“Apabila dihubungi pihak bank melalui internet, orang ramai yang merasa curiga mesti menghubungi bank berkenaan untuk mendapat kepastian mengenai kesahihan e-mel diterima,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana capaian kepada sistem komputer tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan kesalahan.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PadahpercayaarahanInternet/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...