Thursday, March 24, 2011

PAS pertikai kos melampau stesen LRT

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Kerajaan BN diingatkan agar tidak melakukan pembaziran dalam melaksanakan projek-projek negara termasuk untuk kepentingan rakyat, memandangkan belanja yang dikeluarkan kebanyakannya melebihi keperluan.

Keadaan itu turut dilihat akan berlaku dalam projek pengangkutan transit aliran ringan (LRT) yang akan terus dimajukan oleh kerajaan dari semasa ke semasa dan turut melibatkan beberapa pihak termasuk SPAK.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad ketika mengingatkan perkara itu turut memberi contoh perbelanjaan melebihi keperluan yang dilakukan kerajaan dalam perlaksanakan projek pengangkutan membabitkan pembinaan stesen LRT di Kelana Jaya dan Ampang yang menelan belanja sehingga RM36 billion.

Katanya, perbelanjaan sebanyak itu amat tinggi jika dibandingkan dengan keperluannya yang sebenar terutama bagi stesen di Kelana Jaya, sehingga menyebabkan timbulnya tanda tanya kepada pelbagai pihak.

"Selain itu, terdapat juga isu-isu lain yang perlu diberikan perhatian termasuk yang melibatkan sekuriti, isu-isu seperti LRT dipintas oleh pihak lain dan kegagalan SPAK memberikan perhatian yang baik bagi sesuatu perkara yang penting," katanya ketika bertanyakan soalan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazree Tan Sri Aziz pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut mempertikaikan tindakan pihak kerajaan yang terpengaruh dengan pihak tertentu, sehingga sanggup meluluskan proposer yang dikemukan oleh mereka, walaupun terdapat pihak lain yang menawarkan harga lebih munasabah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak kerajaan agar memberikan pertimbangan kepada pihak yang mampu memberikan tawaran yang rendah dan munasabah tetapi lebih berkemampuan bagi pelaksanaan projek-projek yang dirancang, untuk mengurangkan perbelanjaan dan keyakinan terhadap mutu kerja yang dihasilkan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang turut bangun mencelah mencadangkan pihak kerajaan menerima syarikat Scomi bagi perlaksanaan projek tersebut, khususnya di Lembah Klang, memandangkan syarikat itu juga turut mengemukakan proposal kepada kerajaan dengan tawaran harga jauh lebih rendah.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR memberikan cadangan tersebut bukan sekadar untuk membolehkan pihak kerajaan menjimatkan perbelanjaan wang negara, tetapi juga berdasarkan keyakinan terhadap kepakaran pihak Scomi sendiri dalam melaksanakan projek-projek seperti itu bagi menghasilkan kerja-kerja yang bermutu tinggi.

Dr Dzulkifli yang bangun mencelah kemudiannya turut bersetuju dengan cadangan Nurul Izzah, memandangkan kepakaran dari pihak Scomi sudah ternyata dalam pelbagai projek yang dilaksanakan sebelum ini.

Terdahulu dari itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud turut bertanyakan soalan berkaitan dengannya. Manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota (PKR) pula yang mencelah kemudiannya mencadangkan agar pihak kerajaan membuat anggaran harga yang berpatutan untuk pengambilan tanah bagi perlaksanaan sebarang projek, termasuk projek-projek yang dirancangkan itu.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31507:pas-pertikai-kos-melampau-stesen-lrt-&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...