Monday, March 7, 2011

Kenapa Anwar berada di kandang tertuduh?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk di dalam kandang tertuduh setiap hari kini adalah kerana beliau sedang berusaha untuk membuat perubahan asas dalam sistem pentadbiran negara ini, kata Naib Presiden PKR, N Surendran.

Surendran yang juga seorang peguam dalam kenyataannya berkata, perubahan ini semestinya menghakis pengaruh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pastinya akan menyingkirkan BN dari kekuasaan.

Atas dasar itulah, katanya, Umno dan BN akan berusaha untuk menyekat usaha yang dibuat Anwar itu dengan pelbagai cara termasuk mendakwanya dengan pelbagai kes.


Bagi beliau, pemimpin dan kerajaan BN sememangnya tidak peduli tentang kewajaran perubahan ini yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Apa yang mereka pentingkan adalah kelangsungan politik mereka sahaja. Selain hanya obsesi ke atas kelangsungan ini, mereka juga mengabaikan perkara-perkara yang memberikan manfaat kepada negara," kata beliau dalam kenyataan itu.

Bagi Surendran, reformasi yang dibawa oleh Anwar akan menghapuskan ketidakcekapan pengurusan ekonomi dan pembaziran yang diakibatkan dari gejala rasuah dan kronisme; bebas dari kawalan institusi politik yang sepatutnya bersifat bebas; dan mengembalikan kebebasan politik kepada rakyat yang dirampas oleh kerajaan BN selama lebih 50 tahun.

Struktur, imperatif dan para personaliti BN membuatkan ianya mustahil bagi mereka untuk melaksanakan perubahan dan memulihkan diri mereka.

Maka mereka mengetatkan cengkaman ke atas negara yang sedang bergelut untuk bergerak ke depan menuju kebebasan dan kemakmuran untuk semua, dan menggunakan cara tertentu untuk melumpuhkan sesiapa yang berjuang untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat.

"Maka setiap hari Anwar didudukkan di dalam kandang tertuduh, dan nasib negara digantung tanpa taliti," tegas beliau.

Bagi Surendran, adalah sesuatu yang tidak asing lagi buat rejim yang zalim untuk merencana pendakwaan fitnah terhadap musuh-musuh politik mereka.

Dalam tahun 1930-an, Stalin merancang beberapa siri perbicaraan yang menyaksikan penyingkiran semua yang mengancam kekuasaan beliau.

Pada 1995, Ken Saro Wiwa, seorang tokoh pengkritik yang dihormati di dalam kerajaan Nigeria telah didakwa dengan pertuduhan rekaan oleh tribunal tentera dan dijatuhi hukuman mati walaupun dikecam masyarakat antarabangsa.

Pada 2009, ikon demokrasi Burma, Aung San Suu Kyi telah dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dengan kerja berat selepas didakwa dalam perbicaraan palsu atas pertuduhan tidak masuk akal iaitu mengingkari perintah tahanan rumah.


Dengan mencontohi tindakan-tindakan ini, Kerajaan BN mendakwa Anwar Ibrahim, katanya.

Rakyat pula, kata belkiau, cuba diperbodohkan dengan perbicaraan ini yang dibalut dan disamarkan secara formal dengan perendahan undang-undang.

"Sebagai ketua pendakwaan, Pejabat Peguam Negara mestilah berubah secara komprehensif, dan kuasanya yang besar mesti dikaji," tambahnya.

Pihak tertinggi polis dan kerajaan mestilah bertanggungjawab terhadap pencabulan perundangan awam dan pembaziran wang rakyat akibat dari perbicaraan ini.

Bagi beliau, tiada negara yang bergelut atas nama Kebebasan boleh ditekan sebegitu lama.

"Jalannya mungkin panjang dan sukar, namun saya menyeru setiap rakyat negara bertuah ini agar melihat semua ini. Kita berhutang dengan diri sendiri dan generasi akan datang," tambah beliau.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31231:kenapa-anwar-berada-di-kandang-tertuduh&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...