Monday, March 7, 2011

Tunjuk perasaan bantah bajet di Hong Kong


SEORANG anggota polis terbaring selepas dia bergelut dengan sekumpulan penunjuk perasaan di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Beberapa pergelutan kecil berlaku di antara anggota-anggota polis dan penunjuk perasaan semalam yang membantah rancangan bajet pemerintah di pulau itu.

Seorang jurugambar agensi berita AFP berkata, sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan dan seorang anggota polis cedera dalam pergelutan kecil di antara dua pihak itu.

Tunjuk perasaan berlaku sehari selepas pengumuman bajet oleh Setiausaha Kewangan, John Tsang yang didakwa tidak memenuhi kehendak orang awam seperti tiada skim keselamatan persaraan, perumahan awam dan perlindungan alam sekitar.

Tsang dilaporkan enggan memperuntukkan sejumlah wang untuk membantu rakyat walaupun bajet itu mempunyai lebihan sebanyak AS$9 bilion (RM27.25 bilion) pada 2010.

Sambil melaungkan slogan dan mengibarkan sepanduk, ahli-ahli politik dan rakyat berarak ke ibu pejabat pemerintah.

Tunjuk perasaan itu dihadiri oleh 10,000 orang.

Mereka mendakwa pemerintah gagal menyelesaikan banyak masalah termasuk harga hartanah yang tinggi dan jurang kekayaan yang luas.

Penganjur tunjuk perasaan itu berkata, penunjuk perasaan telah mengambil inspirasi dari gerakan kebangkitan rakyat dari negara lain di seluruh dunia untuk berhimpun.

"Rakyat Hong Kong berada dalam keadaan sangat tidak puas hati, kami mahu pemerintah yang lebih baik," kata seorang anggota perwakilan rakyat, Tanya Chan.

Hong Kong diberikan kuasa separuh autonomi oleh pemerintah komunis China. - AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...