Monday, March 7, 2011

Lapan askar Britain ditahan di Libya

LONDON - Lapan anggota pasukan perkhidmatan rahsia Britain (SAS) ditangkap oleh kumpulan penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di Libya.

Seorang jurucakap penentang menyatakan, beberapa askar Britain dan seorang diplomat ditahan selepas mereka mendarat di kawasan yang dikuasai para penentang Gaddafi.

Menurut sumber-sumber yang memberitahu stesen televisyen Sky News, askar-askar dan diplomat tersebut ditahan di bandar kedua terbesar di Libya, Benghazi.

Campur tangan anggota-anggota SAS dalam pertempuran di Libya yang berlaku sejak bulan lalu itu mencetuskan kemarahan para penentang Gaddafi.

Para penentang Gaddafi yang terdiri daripada orang awam itu dan askar-askar yang berpaling dadah bimbang sebarang campur tangan kuasa asing dalam pertempuran tersebut.

Kebimbangan itu berdasarkan kepada sikap Gaddafi yang mungkin menjadikan campur tangan negara luar bagi meningkatkan sokongan orang awam terhadap rejimnya.

Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun memang terkenal dengan tindakannya yang suka mengkritik negara-negara Barat.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox mengesahkan bahawa satu pasukan diplomatik kecil dari negaranya berada di Libya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut menjelaskan bahawa kehadiran pasukan itu adalah untuk berbincang dengan pihak penentang. - Agensi'

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...