BILA USIA MENJELANG EMPAT PULUH…
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Waktu berlari dengan pantas. Detik, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus beredar dalam kealpaan insan atau sedar. Waktu yang berlalu tidak pernah menunggu persetujuan kita, atau menunggu sambutan tahunan. Samada ia disambut, atau ia tentang tiada siapa dapat menghalang perjalanannya. Ia terus datang dan pergi. Berlari tanpa henti. Dalam setiap nafas insan yang disedut atau dihembus keluar, waktu terus beredar.
Waktu tidak pernah hirau yang mati atau yang hidup. Waktu terus datang tanpa diundang, dan ia akan berlalu tanpa dihalang. Waktu adalah makhluk makhluk Tuhan yang paling ajaib. Berulang kali dalam al-Quran yang suci, Allah bersumpah dengannya; Demi masa! Demi waktu fajar! Demi waktu malam! Demi waktu dhuha! Demi waktu subuh dan seterusnya. Ciptaan yang maha ajaib.
Tiada raja, tiada penguasa yang mampu menghalang waktu dari beredar. Kita adalah makhluk Allah yang dipenjara dalam ikatan waktu. Tidak mampu keluar dari sistemnya walaupun sedikit, melainkan dengan izin Allah jua. Jika Allah mahu, nilaian dan kadar waktu kita akan berbeza atas kurniaan keberkatan dari Pencipta waktu iaitu Allah Yang Maha Agung!
Saya menulis tulisan ini ketika melihat tanpa mampu menghalang usia sendiri yang makin bergerak menuju 40 tahun. Tak berapa lama lagi, angka itu akan menjelang. Ramai orang berfalsafah tentang usia empat puluh. Ada yang berkata ia permulaan ‘kenikmatan hidup’, ada pula yang berkata ia adalah permulaan tarikh luput kehidupan. Ada yang berkata ia detik untuk mula berpesta dengan hidup. Ada yang kata usia empat puluh mula jadi ‘orang tua’. Ya! empat puluh juga menamatkan usia ‘pemuda’ dalam banyak organisasi.
Usia 40 Dalam Al-Quran
Jika kita kembali kepada Allah, Tuhan yang mencipta usia insan, Yang menentukan panjang atau singkatnya, maka kita dapati Al-Quran memberikan ingatan tentang usia 40 tahun dengan penuh makna dan menusuk jantung hati. Demikian Allah berfirman: (maksudnya)
“dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)” (Surah al-Ahqaf: 15)
Bagi yang dapat memahami bahasa Arab, dapat merasai keindahan bilah-bilah ayat di atas. Ia tersusun dengan cantik, indah dan penuh kerohanian. Ia menusuk kalbu, menusuk rohani yang lesu lantas mengheret insan ke dataran Tuhan. Ia mengingatkan tentang perjalanan insan; dari hari dia dalam kandungan ibunya, sehingga dilahirkan, sehingga matang, sehingga berusia empat puluh.
Lalu dia diajar agar berdoa untuk dirinya, untuk keturunannya dan agar dia bertaubat atas segala dosa yang dilalui sebelum menjelang empat puluh. Maka dia pun menjadi insaf yang benar-benar menyerah diri atau muslim. Dengan ayat ini, insan yang insaf tersentuh jantung hatinya, perasaannya tersentak, rohaninya sebak lalu dia terduduk insaf, taubat, ibadat dan terus membasahi perjalanan hidupnya dengan linangan airmata takwa sehingga bertemu Allah.
Keinsafan
Allah dalam ayat di atas mengingatkan insan tentang sejarah hidupnya yang pernah dikandung ibu, agar dia tidak lupa setelah lama hal itu berlalu. Insan diingat tentang payahnya pengorbanan tersebut. Setelah dia dilahir dalam keadaan yang sukar itu, dia mula melalui perjalanan hidup sehingga ke usia matang. Al-Quran tidak pula menyebut tentang berapakah usia matang tersebut. Para mufassirin berbeza pendapat. Namun, ia barangkali sekitar antara 30an ke 40an. Ada yang lebih awal, dan ada pula yang mungkin terlambat. Apapun, insan apabila sampai usia empat puluh maka itu adalah tarikh yang wajib untuk dia mengingati dan menginsafi hakikat kehidupan yang dilaluinya selama ini.
Perjalanan hidup; pahit manis, suka duka, cubaan dan kurniaan, halangan dan laluan kesemuanya menjadi bekal untuk dia meneliti dan memahami ‘apakah makna sebuah perjalanan hidup dan ke mana jalan yang hendak dituju?’. Dalam suasana keinsafan itu, dia lantas berdoa dengan penuh harap agar Allah memberikannya kurnia perasaan ‘kesyukuran’ atas segala nikmat yang diperolehi selama ini. ‘Syukur’adalah tanda atas keinsafan terhadap hakikat diri bahawa segala nikmat ini hanyalah dari Allah. Maka, hilanglah bongkak, hilanglah sombong, hilanglah bangga diri dan terasa kerdil atas segala yang dinikmati.
Kesombongan
Kesombongan atau bongkak adalah musuh insan. Kesombonganlah yang menimbulkan pemusuhan antara Iblis dan Adam, kesombonganlah yang menjadikan Iblis dilaknat. Kesombongan juga yang menyebabkan Firaun dan Qarun menolak dakwah. Kesombonganlah yang menyebabkan ada insan yang dihina kerana kekurangan yang ada padanya. Kesyukuran membunuh kesombongan. Usia 40 tahun, usia yang menghalau kesombongan, bukan usia untuk mendabik dada dengan menyatakan ‘aku, aku dan aku..’ tetapi usia yang mengingatkan insan untuk berkata ‘segalanya nikmat Allah’. Hilang bongkak, lalu nikmat ibadah pun menjelang dan insan memohon kurnia agar dia dapat terus beribadah dengan cara yang diredhai Allah. Pada usia ini, teringat pula tentang zuriat yang bakal muncul dalam kehidupan, lantas insan pun berdoa untuk zuriatnya seperti yang Allah ajar dalam ayat di atas.
Selepas itu, menginsafi perjalanan hidup selama empat puluh tahun, insan pun berkata “Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)”.Bergabunglah keinsafan, taubat dan penyerahan. Maka berdasarkan ayat dalam Surah al-Ahqaf ini, kita diajar untuk bertaubat apabila menjelang usia 40 tahun. Kata al-Imam Ibn Kathir (w. 774H):
“Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah, serta bersungguh-sungguh mengenainya” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/281. Saudi: Dar al-Tibah).
Ganjarannya..
Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya)
“mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan yang baik yang mereka telah amalkan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka”. (Surah al-Ahqaf: 16).
Indahnya janji dari Yang Maha Benar. Diterima segala kebaikan, diampun kesalahan dan dimasukkan ke dalam syurga. Alangkah indahnya. Soalnya, mampukah diri memulakan azam baru dan beristiqamah atasnya?! Berikanlah pertolonganMu Ya Allah!
Kematangan
Usia 40 tahun adalah usia yang mengajakkan kita untuk bersungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kedangkalan ketika usia muda yang lepas, lebih santun, lebih berhati-hati, melempar jauh kegopohan lepas, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Usia 40 adalah usia matang yang berbekalkan pengalaman empat dekad. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:
Usia 40 usia adalah tanda aras usia insan yang insaf, syukur, merendah diri, ibadah, harapan, taubat dan penyerahan. Usia 40 adalah usia bersungguh-sungguh dalam memikul amanah, kedangkalan, mengambil iktibar dari pengalaman dan bertindak dengan hikmah dan kebijaksanaan. Ya Allah! Selamat kami pada usia ini sehingga kami bertemuMu!“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (Riwayat al-Bukhari).
No comments:
Post a Comment