Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan mereka dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat berbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa pada suatu hari nanti. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka ke pangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.
MURTAD adalah ungkapan yang menakutkan. Tidak ada mukmin yang sebenar tidak berasa sensitif atau ketakutan apabila perkataan murtad dikaitkan dengannya. Bahkan mukmin yang sejati apabila mendengar perkataan murtad atau kufur akan menyebut dalam jiwanya, “aku pohon perlindungan dengan Allah dari itu semua.” Allah berfirman dalam s urah al-Baqarah: 217: (maksudnya) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka mereka itu rosaklah amalan (yang baik) mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
Murtad jika menjadi satu fenomena ia akan mengancam masyarakat muslim. Jika masyarakat itu telah membentuk negara muslim, ia akan mengancam identiti negara tersebut. Maka fenomena murtad sangat berbahaya serta boleh mencetuskan perubahan identiti atau maruah sesebuah negara muslim. Dalam masyarakat hari ini, kita menangkap dan mengambil tindakan kepada penyalahgunaan dadah. Walaupun mudarat langsung itu kelihatan berlaku kepada diri individu, namun jika ia menjadi arus, ia akan mengancam identiti dan keseimbangan sesebuah masyarakat.
Maka tidak hairan apabila murtad menjadi gelombang yang mengancam kestabilan maka Abu Bakar mengambil tindakan memerangi mereka. Hakikat ini tidak wajar dipertikaikan oleh seorang muslim.
Namun dalam suasana sekarang ini, saya ingin mengajak persoalan ini dilihat luar dari sempadan emosi, tetapi atas kerangka tanggungjawab agama dan kepentingan umat. Langkah pencegahan ke arah murtad perlu dilakukan secara bersungguh. Ini sesuatu yang kita sepakati. Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada pelanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan. Apabila pelanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau mengisytiharkan diri telah keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad.
Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak disahkan oleh mana- mana pihak. Pernyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar kepada hakikat akidah seseorang. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran. Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya hanya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim sahaja. Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar?
Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan mereka dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat berbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa pada suatu hari nanti. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka ke pangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini.
Berikutnya, kita jangan sampai diperdayakan oleh musuh dengan meletakkan angka murtad sehingga ratusan ribu. Walaupun ada, ia tidak sampai kepada angka tersebut. Jangan pula kita mudah menghukum orang lain murtad hanya atas khabar angin. Apakah kita ingin menghidupkan suasana kafir-mengkafir atas andaian semata. Perbuatan itu hanya memporak- perandakan masyarakat Islam.
Meletakkan angka yang sebesar itu hanya melancarkan agenda musuh-musuh Islam. Ia akan menyebabkan dunia menekan negara agar tidak mengabaikan hak jumlah manusia yang ratusan ribu itu. Lantas usaha ke arah murtad mendapat sokongan dunia luar.
Kedua, meletakkan jumlah yang sedemikian besar, hanya akan mematahkan semangat mereka yang ingin menganut Islam dan usaha ke arah mengajak manusia kepada Islam. Alangkah malunya, ketika umat Islam dunia Barat yang ditekan sedang giat dan berjaya mengislamkan saban hari jumlah begitu banyak penduduk Barat sedangkan kita kalut dengan cerita orang murtad. Padahal tidak ada kerajaan yang memberikan keistimewaan kepada umat Islam di Barat. Apatah lagi perlembagaan yang boleh dikaitkan dengan Islam. Tiba- tiba dalam negara yang banyak masjid, ceramah agama di sana sini, ada pejabat agama dan mufti, pelbagai pertubuhan Islam wujud, perlembagaannya menyebut Islam, ustaz-ustaznya pun banyak duit ceramah yang telah dihasilkan, mufti-muftinya pun ramai yang berjenama mewah, slogan Islam pun banyak kedengaran di sana sini, lalu kita isytiharkan ratusan ribu telah murtad.
Sedangkan umat Islam Barat yang lebih mencabar keadaan mereka itu mengisytiharkan ratusan ribu yang menganut Islam. Bahkan begitu banyak gereja bertukar menjadi masjid. Padahal tidak ada mahkamah syariah pun di negara-negara tersebut. Namun mereka berdakwah dengan penuh amanah dan kesarjanaan. Lantas, manusia berbondong-bondong menganut Islam.
Aduhai malangnya kita. Jika hal yang berlaku sebaliknya. Kalau begitu, barangkali elok sahaja kita pencenkan menteri Jakim, mufti-mufti kesemuanya yang sewaktu dengan mereka kerana ternyata gagal mempertahan dan menjelaskan Islam yang agung ini kepada umat.
Kita juga hendaklah mengkaji sebab-sebab murtad di negara ini. Jangan hanya menuding jari ke pihak lain, tanpa melihat kepada diri kita sendiri. Jika kita teliti, ramai yang ingin meninggalkan Islam terdiri daripada mereka yang dahulunya beragama lain. Mereka menganut Islam kadangkala disebabkan faktor perkahwinan. Apabila berlaku perceraian, mereka hilang tempat bergantung. Masyarakat Islam pula ramai yang kurang prihatin terhadap saudara baru. Lalu mereka tiada pilihan, terpaksa kembali kepada keluarga asal atau masyarakat yang lebih memahami mereka. Sebab itu, saya mencadangkan masjid Cina. Antara sebabnya membolehkan mereka bertemu dengan yang senasib atau yang lebih faham tentang diri mereka. Lalu berlaku bantu-membantu. Juga proses pemahaman Islam lebih lancar dan mudah. Itu pun ada yang membantah cadangan tersebut. Kononnya hendak jaga identiti Melayu.
Takut berpecah antara sesama Islam yang berlainan bangsa. Itulah andaian emosi tanpa satu kajian. Padahal, apa yang berlaku sekarang bukan sekadar berpecah, bahkan keluar agama!
Baru-baru ini ada saudara baru yang minta hendak menganut Islam di hadapan saya. Katanya, dia telah ke pejabat agama sebuah negeri tetapi ditolak beberapa kali kerana lidahnya tidak dapat menyebut ucapan syahadah dengan baik. Inilah sikap buruk sesetengah kita yang menghalang orang hendak menganut Islam. Barangkali ustaz berkenaan kalau boleh bacaan tajwid orang yang hendak menganut Islam pun hendak diujinya. Ya syeikh! Islam dianuti bukan kerana kefasihan lidah, tetapi keyakinan dan akidah!
Amatlah pelik, bagi agama yang indah, harmoni dan dipenuhi pula dengan hujah dan alasan, tiba-tiba ada pula yang tidak puas hati dengannya dan ingin meninggalkannya. Padahal saluran penerangan Islam begitu luas dalam negara ini. Sedangkan Islam sudah sempurna. Tidak ada masalah dengan inti kandungannya. Ia agama yang mampu dicabar. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 111: (maksudnya): Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Bawalah bukti-bukti kamu itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
Apa yang tinggal untuk dipersoalkan adalah sikap penganutnya. Manusia lari meninggalkan Islam kerana sikap penganutnya atau huraian Islam yang salah. Bukan kerana Islam. Kita gagal membina benteng yang mampu mempertahankan Islam. Kita lebih suka menyalahkan orang lain apabila kita lemah. Saya ambil contoh dalam masalah Bible dalam bahasa melayu. Saya bukan ingin mengatakan dibolehkan atau tidak. Tetapi sehingga bila kita ingin menjerit dan membantah. Kita bimbang anak-anak kita terpengaruh dengan Bible jika ianya dalam bahasa Melayu. Apakah kita tidak bimbang jika anak kita pandai bahasa Inggeris dan nanti dia boleh baca Bible dalam bahasa Inggeris pula? Tidak inginkah pula kita mengharamkan bahasa Inggeris untuk anak-anak kita? Apa pula yang hendak kita buat dengan Internet yang seseorang mampu mendapatkan apa sahaja daripadanya? Apa kita kata jika kita dapati ada satu bangsa yang takut orang- orangnya diberi kesempatan membaca al- Quran terjemahan dalam bahasa mereka. Tentu kita akan kata; mereka takut sebab al-Quran itu benar. Demikianlah orang lain fikir tentang kitab mereka apabila dihalang. Sehingga bila kita mampu menghalang? Sepatutnya kita membina benteng ketahanan yang kuat. Lihat apa yang dibuat oleh Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik dalam menjawab Bible.
Orang menganut Islam apabila mendengar mereka membahaskan Bible. Huraikan Bible secara ilmiah dan buktikan kebenaran al-Quran dan Islam. Ustaz-ustaz mesti meningkatkan kemampuan menguasai bidang yang pelbagai sesuai dengan tuntutan zaman. Bukan asyik kempen kismis jampi sahaja. Kocek penuh, umat lari. Jawab segala tuduhan terhadap Islam dengan penuh wibawa dan ilmiah. Bukan emosi semata. Bahkan kalau perlu dihuraikan Das Kapital pun huraikanlah sekalipun dalam masjid. Namun apabila ceramah dan syarahan agama lebih banyak jenaka dan lawak ‘tak pandai’ maka pelbagai tohmahan terhadap Islam gagal ditangkis dengan mantap. Sedangkan al-Quran mengajar pelbagai isi dan cara berdialog menghadapai Ahl al-Kitab. Antaranya Allah menyebutkan: (maksudnya) Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang- orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah Kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut: 46).
Anak-anak kaum muslimin mustahil akan terpengaruh dengan Bible jika mereka membaca al-Quran. Ada yang kata: masalahnya mereka tidak baca al-Quran. Kita tanya; jika al-Quran pun mereka tidak minat baca, macam mana pula mereka berminat membaca Bible? Atau barangkali di rumah mereka tidak ada al-Quran terjemahan? Ataupun mungkin juga cara al-Quran dihuraikan oleh sesetengah kita menjadikan orang salah faham atau tidak minat dengan al-Quran.
Apa yang penting, kita mesti bina ketahanan diri dalam kefahaman umat Islam di Malaysia ini. Sejauh manakah kita hendak bertahan dengan jeritan dan bantahan terhadap orang lain, jika kita sendiri lemah. Umat Islam di negara Barat tanpa pelbagai keistimewaan seperti kita tetapi mampu menyebarkan Islam. Bahkan selepas 11 September al-Quran dilaporkan begitu laris di pasaran mereka. Mengapa kita sebaliknya?
Ramai yang memperkatakan hukuman murtad. Saya tidak ingin melebarkan khilaf fuqaha di sini. Namun kita tidak melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan syarak sebelum menghukum orang murtad. Hasil dari nas-nas hadis dan amalan sahabah, para fuqaha menyatakan hendaklah orang murtad itu diberikan ruang perbincangan, dihilangkan kekeliruannya mengenai agama dan diajak bertaubat (lihat: Abd al-Halim ‘Uwais, Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami al-Mu‘asir, 3/438).
Proses ini penting, sebelum kita sibuk memperkatakan tentang hukuman. Proses ini boleh dibuat oleh pelbagai pihak. Tidak semesti memerlukan kuasa. Namun hanya sedikit yang melakukannya. Banyak perkara yang mengelirukan umat Islam pada zaman ini. Manusia mungkin murtad disebabkan kurangnya penjelasan yang meyakinkan. Sikap, tindakan dan pentafsiran sesetengah pihak di kalangan umat Islam juga boleh menyebabkan orang bingung dengan Islam. Tiba-tiba apabila mereka murtad terus sahaja ada pihak yang memperkatakan tentang hukuman sebelum mendengar dan membuat penjelasan secara mantap dan adil, mana mungkin jiwa yang merdeka dapat menerimanya. Proses penerangan dan dialog tentang Islam dengan cara yang lebih terbuka dan berani patut dilakukan. Di negara lain, tokoh-tokoh umat Islam sudah lama mampu menyampaikan penerangan tentang Islam sehingga di gereja dan di pelbagai saluran.
Hari ini tidak ada Abu Bakar yang mampu menolong kita. Apa yang patut kita fikirkan adalah membina ketahanan umat agar kukuh kefahamannya terhadap Islam. Pengukuhan itu tidak akan berlaku jika pihak yang menerangkan Islam itu sendiri rapuh kefahamannya dan menakutkan pula wataknya. Lebih penting isu murtad jangan dijadikan sebagai peluang untuk mempromosi diri, persatuan atau modal politik. Sebaliknya lihat ia sebagai tanggungjawab bersama yang mesti ditangani secara ilmiah, bukan sentimen.
No comments:
Post a Comment