Monday, July 11, 2011

9 Julai detik bersejarah kebangkitan rakyat

M Faqih & M Yarisman

KOTA BHARU, 11 Julai: Perhimpunan anjuran Bersih 2.0 Sabtu lalu dianggap satu kejayaan besar memandangkan program itu dari awal lagi cuba dihalang secara kekerasan menggunakan pasukan polis.

Kehadiran puluhan ribu rakyat memenuhi ibu kota dibayar dengan tembakan gas pemedih mata dan water cannon berulang kali.

Kesan segera tindakan itu menyebabkan seorang peserta menjadi korban.

Mangsa, Allahyarham Baharudin Ahmad, 58 biar pun disifatkan polis mati akibat serangan jantung, namun diakui ramai beliau cuba menyelamatkan diri akibat tembakan gas pemedih mata.

Ini kerana ramai lagi yang cedera termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad. Polis juga menahan 1,667 orang.

Biar pun laporan akhbar Umno hanya sekitar 6,000 orang hadir pada perhimpunan tersebut, ia dianggap banyak pihak buat sekian kalinya kerajaan BN memperbodohkan rakyat.

Bagi bekas pensyarah kanan bidang undang-undang UIAM, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar kiri), Himpunan Bersih 2.0 sebagai lambang kebangkitan rakyat bagi menegakkan keadilan dalam proses pilihan raya.

”Umno dan BN mahu mengekalkan sistem pilihan raya yang ada sekarang bagi memastikan kuasa mereka tetap utuh,” ujarnya yang juga anggota Exco kerajaan negeri di sini.

Seorang peguam, Wan Azimin Wan Adnan berkata, Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 (1a) (1b) membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

Manakala Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 menyatakan berhimpun secara aman bukan kesalahan.

Selain itu katanya, Persidangan Hak Asasi Manusia juga membenarkan perhimpunan secara aman diadakan.

”Anehnya mengapa pula kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memperalatkan polis bagi mengekang perhimpunan tersebut.

“Mengapa pemimpin Umno dan BN takut kepada perhimpunan aman, sedangkan ia dibenarkan perlembagaan,” ujarnya.

Katanya, sindrom ketakutan amat sangat itu menggambarkan ada sesuatu yang cuba disembunyikan mereka.

“Kalau tidak mengapa takut. Sedangkan di negara lain perhimpunan aman dibenarkan dan anggota polis memberi kerjasama,” katanya.

Bekas majistret, Datuk Takiyuddin Hassan berkata perhimpunan Bersih 2.0 dianggap selaras dengan amalan demokrasi.

“Kebebasan berhimpun dan bersuara dibolehkan. Jadi saya tidak nampak kenapa kerajaan Persekutuan perlu takut.

“Ini kerana berdasarkan rekod perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat termasuk Himpunan Bersih pertama 2007 berlangsung secara aman,” katanya.

BN sembunyi kemungkaran

Pendapat itu turut dikongsi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila membayangkan kerajaan BN cuba menyembunyikan kemungkaran yang dilakukan dalam pilihan raya.

"Menjadi kewajipan kita umat Islam membuang perkara mungkar. Pilihan raya yang dijalankan secara kotor itu benda mungkar.

(Nik Aziz bersama isterinya yang baru tiba dari menunaikan umarah di Mekah)

“Maka menjadi kewajipan umat Islam apabila tengok, mesti buang, walau dengan apa cara sekali pun, sama ada dengan mengadakan demonstrasi cara aman sekali pun, buatlah,” katanya di sini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sepatutnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan pilihan raya dengan lebih telus dan adil.

“Jadi kalau nak buat pilihan raya, kita pilih dengan baik sebagaimana kita pergi ke market, nak beli sayur maka pilihlah sama ada sayur ‘A’ atau sayur ‘B’, kita pilih, dengan tidak boleh dipaksa-paksa.

”Jika dipaksa, maka itu tidak betul. Jadi kita keluar daripada rumah kita, mengundilah dengan bebas, tidak dengan cara kotor, tidak diberi rasuah, itu dan ini,” katanya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, proses pilihan raya di negara ini berlangsung di atas padang permainan yang tidak sama rata.

“Memang itulah tradisi pemimpin Umno-BN, mereka tidak mahu bersaing secara sihat. Mereka tidak mahu diadakan satu pilihan raya yang semua parti memiliki padang permainan sama rata.

“Jadi itu saya tidak peliklah kerana itu merupakan sikap yang tidak berubah pada pemimpin-pemimpin Umno-BN,” katanya.

Pilihan raya antinasional

Persidangan Meja Bulat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Berih) 2.0 di sebuah hotel di sini baru-baru ini pula menyifatkan pilihan raya dijalankan secara tidak bersih sebagai antiIslam, antinasional dan anti Melayu.

Pengerusi persidangan Bersih 2.0 itu, Dr Abdul Halim Yusoff berkata, penolakan kerajaan terhadap pendaftaran secara automatik merugikan orang Melayu kerana seramai 3.9 juta lagi tidak berdaftar sebagai pengundi.

Menurut Dr Halim, sistem pendaftaran pengundi yang dijalankan sekarang merugikan rakyat yang serba kekurangan dalam komunikasi dan pengangkutan.

“Sistem pendaftaran pengundi dijalankan kini merugikan dan kosnya tinggi, memerlukan tenaga kerja ramai di samping terdedah kepada penipuan dan pemalsuan,” dakwanya.

Katanya juga persempadanan pilihan raya turut merugikan penduduk bandar khususnya orang Melayu yang kini semakin ramai.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4301-9-julai-detik-bersejarah-kebangkitan-rakyat-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...