Monday, July 11, 2011

Zunar: Kenapa cubit kalau kita boleh tumbuk

Zunar

Di Malaysia, akhbar, TV dan radio dikuasai oleh kerajaan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Undang-undang ini mensyaratkan setiap pemilik media untuk memohon lesen pernerbitan setiap tahun. Pihak kerajaan berhak melulus atau menolak permohonan ini tanpa perlu memberi sebarang alasan.

Dan keputusan kerajaan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Ini menutup jalan kepada penyiaran sebarang bahan-bahan alternatif atau pandangan berbeza terhadap kerajaan, termasuk kartun editorial. Kartunis independen terpaksa bergantung kepada media alternatif seperti internet untuk terus berkarya.

Saya melukis untuk portal berita Malaysiakini dan juga untuk akhbar Harakah. Di samping itu saya juga menerbitkan buku. Setakat ini saya telah menerbitkan Cartoons on Tun, 1 Funny Malaysia, Cartoon-O-Phobia, Even My Pen Has a Stand, Gedung Kartun, Perak Darul Kartun and tiga volume Isu Dalam Kartun.

(Zunar dengan anugerah yang diterimanya di majlis "2011 Award in Editorial Cartooning"
oleh Cartoonist Rights Network International (CRNI) St Petersburg, Florida, 7 Julai 2011)


Matlamat saya ialah untuk menggunakan kartun sebagai senjata melawan korupsi dan salahguna kuasa oleh kerajaan Malaysia. Melalui kartun, saya mengenengahkan isu-isu yang tidak disiarkan oleh media arus perdana.

Ini termasuk rasuah oleh Perdana Menteri dan kabinetnya, isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, kekuasaan isteri Perdana Menteri, skandal Scorpene, pembaziran, antara lain.

Falsafah saya adalah jelas: Supaya sesuatu karya mendapat impak, kita mesti melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Cara saya ialah mengkritik mereka yang paling berkuasa dengan cara yang paling keras. Why pinch when you can punch! (kenapa cubit kalau kita boleh tumbuk).

Sepanjang bekarya, saya sentiasa hadapi tekanan, gangguan dan ugutan dari kerajaan. Pejabat saya selalu diserbu. Kerajaan mengharamkan semua buku-buku saya. Kilang-kilang pencetak juga diserbu dan diberi amaran agar tidak mencetak buku-buku saya di masa akan datang.

Pekedai-pekedai di seluruh negara juga diugut agar tidak menjual buku-buku saya.
September tahun lepas, sepuluh anggota polis menyerbu pejabat saya beberapa jam sebelum pelancaran buku terbaru saya, Cartoon-O-Phobia. Mereka turut merampas 66 buah buku tersebut juga sebuah sebuah lukisan kartun asli.

Saya ditangkap dan di bawa ke tujuh balai polis sebelum dilokap di bawah Akta Hasutan, yang membawa hukuman tiga tahun penjara jika didapati salah.

Saya diletakkan dalam lokap yang sama bersama dengan penjayah-penjenayah lain seperti perompak dan penagih dadah. Kerajaan mahu mereman saya lebih lama, tapi mahkamah membebaskan saya pada keesokan hari.

Period ini merupakan saat yang sukar bagi saya. Pengharaman buku mengakibatkan kerugian RM80,000 (lebih kurang USD35,000). Akta Hasutan masih lagi tergantung ibarat 'pedang Damocles' di atas kepala saya.

Melukis kartun politik merupakan satu kesalahan jenayah di Malaysia. Melawan korupsi adalah kesalahan jenayah di Malaysia. Ini bertentangan sama sekali dengan prinsip Islam. Kata Saidina Ali: "Patriotisma paling tinggi ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim."

Sebagai kartunis editorial, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menentang ketidakadilan. Di Malaysia, dan juga di negara-negara dunia ketiga serta Timur Tengah, kartunis menghadapai cabaran lebih berat.

Kita mesti bersedia menghadapi pelbagai risiko. Kita mesti terus bangun. Kita mesti terus melukis sehingga ke titisan dakwat terakhir. Jika kita berundur, bererti kita mengorbankan prinsip kita menentang kezaliman. Apabila melukis kartun merupakan kesalahan jenayah, petanda penguasa mula goyah.

Saya memfailkan saman terhadap kerajaan untuk mencabar pengharaman buku-buku saya. Untuk kes ini, hakim akan memberi keputusan pada 14 Julai depan.

Saya juga memfailkan satu lagi saman untuk mencabar kerajaan kerana menangkap saya secara tidak sah tahun lepas. Untuk kes ini, mahkamah belum lagi memberi keputusan.

Cabaran yang berat bukan sahaja di hadapi kartunis-kartunis di Asia dan Timur Tengah, tetapi juga di bahagian lain di dunia. Kartunis-kartunis Amerika memberitahu saya bahawa mereka menghadapi risiko kehilangan pekerjaan akibat ekonomi merudum dan kebangkitan internet. Saya bersimpati dengan mereka.

Saya rasa, sudah sampai masanya untuk kita, kartunis-kartunis di seluruh dunia bersatu, merapatkan hubungan dan mengadakan lebih banyak dialog supaya lebih memahami isu bersama.

Sekali lagi, terima kasih CRNI atas anugerah ini. Ia memberi kekuatan baru kepada saya, "seperti Popeye mendapat spinach."

Terima kasih.

********************************************************

1. Ucapan Zunar ketika menerima anugerah "2011 Award in Editorial Cartooning"
oleh Cartoonist Rights Network International (CRNI) St Petersburg, Florida, 7 Julai 2011


2. Zunar dipilih untuk menerima anugerah ini selepas melalui proses pencalonan dan pemilihan oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah CRNI. Menurut mereka, ketabahan dan ketahanan beliau menghadapi tekanan, menggunakan strategi kreatif melalui kartun dan keberanian yang beliau tunjukkan dalam melawan kekuasan pemerintah melayakkan beliau menerima anugerah ini.

Anugerah ini disampaikan oleh Presiden Cartoonists Rights Network International (CRNI) Joel Pett. Zunar turut diberi penghormatan berdiri oleh 75 kartunis yang hadir pada malam itu.

Antara mereka ialah termasuk pemenang Anugerah Pulitzer dalam kartun editorial seperti Daryl Cagle, Dick Locher, Clay Bannet, Ben Sergeant, Mark Fiore, Mike Keefe, Ed Stein, Rob Rogers dan juga kartunis dari Timur Tengah dan Asia.

Antara pemenang anugerah ini pada tahun lepas ialah Nikahank Kowsar, Iran (2001), Paul Nyemb Popoli, Cameroon (2002), Tony Namate (Zimbabwe 2004), Musa Kart, Turkey (2005), Ali Dilem, Algeria (2006), Jonathan Shapiro, South Afrika (2007), Baha Boukhari, Palestin (2008), Mario Robles, Mexico (2009), Mana Neyestani, Iran (2010).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memberi keputusan pada 14 Julai ini mengenai saman Zunar dan Malaysiakini terhadap kerajaan mencabar pengharaman buku kartun, 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/depth/4293-zunar-kenapa-cubit-kalau-kita-boleh-tumbuk

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...