Jul 26, 11
2:58pm
Naib presidennya Datuk Husam Musa (bawah, baju hijau) berkata pendedahan akan dibuat secara berperingkat selepas penyerahan senarai 500 orang pertama kepada SPR baru-baru ini.
"Kita akan buat (majlis seperti) persidangan. Kita pamer pada semua orang dan media boleh semak," katanya.
Diminta menjelaskan anggaran jumlah terbabit, Husam bagaimanapun enggan berbuat demikian buat masa ini.
Bagaimanapun, katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan PAS selepas ini, pihak media akan dibekalkan dengan senarai berkenaan.
Sehubungan itu, Husam sekali lagi menegaskan bahawa PAS tetap menolak sistem biometrik yang mahu diperkenalkan kerajaan.
"Setakat biometrik, tekan (jari pada sistem), timbul (maklumat). Tekan di Bangi, timbul; tekan di Gombak, timbul. Itu saja," katanya sambil menegaskan sistem itu tidak mampu menangani pengundian bertindih.
"Kenapa hendak habiskan wang yang besar dan tidak gunakan dakwat kekal?" soalnya.
'Siapa di belakang?'
Husam juga berkata, masalah dalam sistem pilihan raya negara ini bukan sahaja pada pertindihan pengundi, tetapi persoalan yang perlu dijawab, bagaimana perkara itu boleh berlaku.
"Siapa di belakang semua ini?" soalnya lagi yang juga exco kanan kerajaan Kelantan dan wakil rakyat Salor.
Mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar (kiri) bahawa pihaknya tidak menafikan kewujudan 'klon' dalam daftar pemilih dan meminta parti politik bekerjasama untuk membersihkannya, Husam berkata:
"SPR yang patut siasat. Ini bukan atas parti politik, tetapi institusi dalam kerajaan."
Husam juga berkata, buat masa ini, pihaknya tidak mempertimbangkan mengambil tindakan mahkamah kerana beliau tidak yakin bahawa keadilan dalam diberikan dalam kes sebegitu.
"(Sebab) ini usaha parti politik, masyarakat dan SPR," katanya.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) berkata cadangan SPR memperkenalkan sistem biometrik dalam proses pilihan raya bukanlah jalan penyelesaian terhadap isu "pengundi hantu".
Dalam satu kenyataan di laman rasmi parti itu, beliau berkata sistem itu terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran mengenainya.
"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat (kanan) dilaporkan berkata, beliau menyokong sebarang perubahan, termasuk sistem biometrik dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya dilakukan secara bersih dan telus.
Nik Aziz dilaporkan berkata, PAS sedia mendengar taklimat SPR berhubung sistem itu selain mengadakan perbincangan susulan dari cadangan perubahan yang dicadangkannya, lapor Sinar Harian.
"Apa saja sistem sekalipun mesti membawa kepada kebersihan... saya tak sebut satu cara tadi (merujuk kepada sistem biometrik)... apa saja sistem yang tidak membawa kepada kebersihan mesti ditentang, yang boleh meragukan mesti ditentang," beliau dipetik sebagai berkata di Kota Bharu semalam.
http://malaysiakini.com/news/171090
No comments:
Post a Comment