SHAH ALAM, 26 Julai: Wacana Sinar Harian bertajuk 'Apa selepas 9 Julai' yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karang Kraf di sini menyaksikan setiap penjelasan wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disambut 'boo' oleh hadirin hingga ke akhir program.
SPR yang diwakili timbalan pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dicemuh seawal beliau berhujah menjawab soalan yang dikemukakan moderator iaitu Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful dalam soalan awalnya bertanya kenapa SPR dilihat menggunakan ayat-ayat 'difensif' dalam buku terbaru mereka berhubung penjelasan tentang pilihan raya.
Menjawab soalan itu, Wan Ahmad dengan tegas berkata "SPR tidak difensif, kita tidak berpihak kepada mana-mana parti".
Jawapan itu lantas disambut 'boo' oleh hadirin sekaligus menjadikan auditorium gamat seketika dan kemudiannya ditenangkan oleh moderator.
Wacana hampir dua jam itu menampilkan dua lagi ahli panel iaitu Pegerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Professor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Ia bagaimanapun seolah-olah didominasi wakil SPR apabila hanya beliau diaju soalan oleh para hadirin.
Sepanjang penjelasannya, Wan Ahmad beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa SPR 'tiada kuasa' untuk melakukan perubahan malah menjelaskan perubahan sistem pilihan raya hanya boleh dibuat oleh Pejabat Peguam Negara sebelum diluluskan di Parlimen.
Membidas penjelasan itu, seorang hadirin bangun mempersoal kenapa SPR menolak bulat-bulat kesemua lapan tuntutan Bersih termasuk pembersihan daftar pemilih dan tidak membawa cadangan penambahbaikan itu kepada Pejabat Peguam Negara.
Menjawab soalan itu Wan Ahmad berkata SPR tidak ada kuasa mengeluarkan mana-mana nama dalam daftar pemilih melainkan mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau turut mengakui senarai pemilih yang wujud sejak 1959 itu tidak bersih kerana ada individu sudah meninggal dunia namun tiada pengesahan kematian dibuat warisnya kepada JPN.
"Sebab itu kalau kita dengar tadi ada orang berumur lebih 100 tahun, of course sebab kalau dia daftar pemilih pada tahun 1959 tentu umurnya sudah lebih seratus tahun kerana warisnya tak pernah melapor kematian dia kepada JPN," katanya namun sekali lagi dicemuh hadirin kerana dilihat cuba menyalahkan rakyat.
Lantas dengan itu beliau terpaksa merayu kepada hadirin supaya memberinya peluang membuat penjelasan.
Ketika membuat penjelasan lanjutnya, Wan Ahmad tiba-tiba berkata "SPR ditembak dituduh dari pelbagai penjuru, tetapi parti Barisan Nasional dia tidak menentang SPR..."
Kenyataan itu menyebabkan beliau sekali lagi ditertawakan hadirin yang dilihat majoritinya adalah menyokong reformasi sistem pilihan raya dibuat.
"Sebenarnya tuan-tuan tak menggunakan fikiran yang waras...tuan-tuan tak baca undang-undang.
"Tak payah la angkat suara kuat-kuat...Saya rasa tuan tuan tak layak la duk berbincang di sini," kata Wan Ahmad kecewa selepas terus menerus di'boo' hadirin.
Beliau kemudiannya merayu agar semua pihak termasuk hadirin yang hadir agar tidak melayan SPR seperti musuh mereka.
Malah katanya semua pihak harus bersama dengan SPR untuk melakukan penambahbaikan sistem pilihan raya.
Membidas kenyataan itu, Ambiga pula mempersoal siapa sebenarnya yang dilayan seperti musuh sejak Bersih 2.0 mengumumkan mengadakan himpunan pada 9 Julai lalu.
"You yang layan kami macam musuh. Tengok sahaja Bersih diserang sejak enam minggu lalu," tegasnya.
Bagaimanapun wacana yang bermula kira-kira jam 2.15 petang itu terpaksa berakhir awal 15 minit apabila moderator mengumumkan beliau mendapat arahan dari pihak atasan untuk menamatkannya tanpa sempat membenarkan ahli panel membuat penggulungan.
"Pihak atasan ni bukan pihak penganjur, tapi atas lagi daripada pihak penganjur," kata Wan Saiful.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/4570-you-yang-layan-kami-macam-musuh-ambiga
No comments:
Post a Comment