Wednesday, July 27, 2011

Putera mahu bonda dihukum penjara

Posted by admin on July 26th, 2011

Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 15 Ogos ini untuk mendengar permohonan komital oleh anak saudara Sultan Selangor, Putera Azamuddin Shah Abdul Shah, terhadap bondanya berhubung perjanjian jual beli saham.Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Datuk Rajan Navaratnam, yang mewakili Putera Azamuddin Shah (gambar), dan peguam Jabeer Singh, mewakili Tengku Putri Arafiah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Rajan memberitahu pemberita bahawa tarikh itu ditetapkan selepas hakim meminta kedua-dua pihak memfailkan dokumen masing-masing.

Pada 8 Jun lepas, Putera Azamuddin Shah memohon perintah komital untuk memenjarakan bondanya kerana gagal menandatangani dan mematuhi perjanjian jual beli saham syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd berjumlah RM2 juta.

Mengikut notis usul, Putera Azamuddin Shah berkata mahkamah telah membenarkan permohonannya untuk perintah pelaksanaan spesifik pada 19 April lalu dan bondanya dikehendaki menandatangani dan mematuhi perjanjian jual beli saham itu dalam tempoh lima hari selepas itu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa bondanya sehingga kini dengan sengaja tidak berbuat demikian dan ia jelas mengingkari perintah mahkamah.

Afidavit sokongan Putera Azamuddin Shah menyatakan bahawa bondanya telah bersetuju untuk membeli kesemua 100,000 unit saham miliknya dalam syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd.


http://www.kl-today.com/2011/07/putera-mahu-bonda-dihukum-penjara/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...