Wednesday, August 24, 2011

Ambil iktibar kejatuhan rejim Gaddafi

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan kerajaan BN agar mengambil iktibar daripada kejatuhan rejim Muammar Gaddafi akibat pemberontakan rakyat Libya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, BN harus segera sedar bahawa rakyat akan bangkit sekiranya corak pemerintahan kerajaan tidak menjurus ke arah keadilan.

"Jatuhnya Gaddafi disebabkan beliau bersifat autotarian dan menyekat banyak ruang demokrasi dalam negara seperti kebebasan akhbar dan hak asasi rakyat yang ada dalam Perlembagaan Negara mereka.

"Jadi rakyat bangun untuk menuntut keadilan. Kejatuhan Gaddafi itu disebabkan kegagalan beliau memberikan keadilan kepada rakyat dan ini boleh dijadikan iktibar kepada Umno BN yang ingin terus berkuasa," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Gaddafi yang sudah 42 tahun memerintah Libya tumbang selepas kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.

Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran para penunjuk perasaan menuntut kebebasan hak asasi manusia.

Ia kemudian bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan tentera Gaddafi dengan para pemberontak sebelum tentera bersekutu diketuai AS mengebom bandar-bandar utama di Libya bagi menguatkuasakan larangan terbang di negara tersebut selepas diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Raja Ahmad berkata, kekayaan ekonomi sesebuah negara tidak dapat menjamin kerajaannya kekal berkuasa sekiranya keprluan lain diabaikan.

"Di Libya memang hasil minyaknya banyak dan rakyat kekayaan dikongsi bersama rakyat, kos sara hidup rakyatnya rendah tapi pemerintah mengabaikan aspek kehidupan yang lain.

"Umno dan BN tidak boleh menjadikan isu ekonomi atau pembangunan yang mereka lakukan selama ini sebagai asas untuk mereka mempertahankan kerajaan mereka kerana ekonomi bukan asas kebahagian seseorang tapi rakyat juga mahukan keadilan dalam berorganisasi, keadilan dalam menyuarakan pandangan hak-hak asasi," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda.

Sambil merakamkan ucapan tahniah keapda rakyat Libya, beliau bagaimanapun meminta pihak luar menghentikan campur tangan asing ke atas Libya sebaliknya menyerahkan segala keputusan kepada rakyatnya.

"Dalam masa yang sama juga kita minta pihak barat yang selama ini menyokong pihak pemberontak menyerahkan kembali suara rakyat kepada kepada Libya sendiri untuk menentukan sistem dan juga konsep negara yang mereka ingin bentuk.

"Terutamanya NATO dan Perancis yang berkepentingan di sana untuk memastikan apabila turunnya Gaddafi, semua kuasa, tindakan dan keputusan diserahkan kepada rakyatnya.

"Campur tangan pihak asing perlu dielakkan untuk mengelakkan pergolakan," katanya lagi.

Libya negara yang mempunyai simpanan minyak yang terbesar di Afrika dan yang ke-9 terbesar di dunia diserang oleh tentera bersekutu dan kemudiannya diajak negara-negara Perjanjian Atlantik Utara ( NATO ) untuk menyertai serangan keatas Libya.

Februari lalu, pemimpin Pakatan Rakyat bersama lebih 300 rakyat Libya dan 100 warga tempatan menganjurkan demonstrasi secara aman di kawasan sekitar Kedutaan Libya menuntut Presiden Muammar Gaddafi segera meletak jawatan.

Kebangkitan anak muda

Sementara itu, beliau turut mengakui kejayaan pemberontakan ini disokong oleh kuasa anak muda yang sedar mengenai apa yang berlaku dalam negara mereka.

Memberi contoh kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir beberapa bulan lalu yang berpunca daripada kebangkitan anak muda, beliau berkata, anak muda sekarang sudah terdedah keapda sumber-sumber baru.

"Anak muda sekarang bukan anak muda dahulu. Anak muda sekarang terdedah kepada maklumat terutamanya media baru. Jadi mereka banyak memahami situasi dan erti keadilan.

"Maklumat yang mereka peroleh ialah primari menerusi sumber baru, bukan secondary lagi," katanya.

Justeru katanya, Dewan Pemuda akan memastikan gerakan anak muda sentiasa terarah untuk kepimpinan akan datang.

"Dewan Pemuda di peringkat pusat, negeri malah kawasan dan cawangan akan menggerakkan anak muda semoga mereka ini akan memimpin kebangkitan dan kesedaran kepada rakyat Malaysia," katanya.



http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5075-ambil-iktibar-kejatuhan-rejim-gaddafi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...