Wednesday, August 24, 2011

Asri: Islam konservatif kawal institusi

Posted by admin on August 23rd, 2011

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pihak berkuasa agama di Malaysia perlu berfikiran terbuka untuk menerima pandangan dan pendapat pelbagai pihak tanpa hanya berfikir secara “satu hala.”“Sikap mereka ialah memaksa pihak-pihak lain untuk berfikir satu hala dan ia bukan sikap rakyat yang bertamadun. Mereka harus ingat bahawa apa telah berlaku kepada gereja apabila mereka enggan berubah dan menekan mereka yang mahu berubah,” kata Asri dalam satu temu bual dengan wartawan Wall Street Journal Celine Fernandez.

Temu bual ini muncul di sebalik kontroversi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan melakukan serbuan ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya awal bulan ini dan siri isu berkaitan dengan Islam dan Kristian.

Mengenai matlamat jangka panjang bagi Malaysia, Asri berkata “kita memerlukan tajdid dalam masyarakat Muslim di Malaysia.”

Sambil berkata tajdid mempunyai dua definisi yang berlainan, ulama progresif ini menekankan bahawa “definisi pertama ialah mengembalikan sifat asal agama.”

“Yang kedua, definisi tajdid melibatkan inovasi beberapa elemen untuk memenuhi keperluan kontemporari seperti inovasi kenderaan moden,” katanya lagi.

“Dalam contoh ini kita bercakap mengenai sesuatu yang kita tidak wujud sebelum ini, tetapi ia merupakan tujuan asal yang sama diperlukan oleh manusia.

“Dalam konteks Islam, inovasi seharusnya dilaksanakan, bukan mengubah agama tetapi memuaskan pemahaman yang baru atau pandangan yang membawa perubahan-perubahan dalam persekitaran, asalkan ia tidak terpesong daripada keperluan asas al-Quran dan Sunah,” katanya lagi.

Tambah Asri, banyak isu kontemporari yang dihadapi sekarang tidak pernah diketahui pada masa-masa lalu.

“Pendirian saya, Islam agama sebagai rahmat kepada semua orang tidak kira agama dan warna kulitnya.

“Lebih dari itu, rahmat itu meliputi ke seluruh alam,” katanya ketika ditanya tentang kepercayaan beragamanya yang dikatakan berbeza prinsip dengan badan kerajaan.

“Bagi memastikan survival masyarakat secara berterusan, pelbagai pandangan baru diperlukan. Pandangan mendahului teologi kemungkinan tidak salah, tetapi kemungkinan sudah luput ekoran perubahan masa dan persekitaran,” kata beliau lagi.

Dalam temu bual itu, Asri juga berkata, “di Malaysia buat masa sekarang tidak banyak Muslim konservatif, tetapi mereka memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.”

Justeru katanya, sementara kumpulan progresif juga memberi banyak sumbangan kepada pembaharuan sejak kebelakangan ini tetapi mereka diketepikan oleh mereka yang menguasai institusi agama dalam kerajaan.

“… dan memastikan bahawa hanya pemikiran mereka diberikan peluang. Kerajaan kemungkinan bimbang bahawa mereka dalam pergerakan progresif akan mengkritik perkara yang mereka lihat.

“Kemungkinan ada kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mempertahankan elemen perkauman dan fanatik agama melampau untuk melindungi kepentingan politik mereka,” kata ahli akademik Universiti Sains Malaysia ini.

Pensyarah kanan di USM itu juga berkata, dalam masa yang sama, pihak kerajaan pula lebih bimbang kepada kumpulan progresif yang selalu mengkritik “apa yang mereka lihat”.

Dalam temubual selepas tidak berapa lama dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan terorisme, Dr Asri sekali lagi menafikan penglibatan beliau dengan aliran itu.

“Jika ‘Wahabi’ bermaksud menjadikan seseorang itu fanatik, rigid, keras, tidak boleh berunding dan seumpamanya, saya menentangnya,” katanya sambil menyifatkan istilah itu sebagai terma yang “misteri”.

“Bila orang muka mengkritik amalan mereka, dengan mudah mereka berkata, ‘kamu Wahabi’.”

Ditanya sama ada Malaysia menuju situasi politik dan beragama yang betul, Dr Asri berkata, buat masa ini pihak berkuasa agama perlu lebih berfikiran terbuka dan tidak memaksa orang lain berfikir sehala.


http://www.kl-today.com/2011/08/asri-islam-konservatif-kawal-institusi/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...