There was an error in this gadget

Wednesday, August 24, 2011

Ambil pedoman kejatuhan Gaddafi

Posted by admin on August 23rd, 2011

Parti pemerintah dinasihatkan supaya mengambil iktibar daripada kejatuhan pemerintahan Muammar Gaddafi agar peristiwa serupa tidak berlaku di negara ini.Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (gambar) berkata, fenomena yang melanda negara Timur Tengah itu sepatutnya membuka mata pemerintah bahawa rakyat kini menuntut sistem demokrasi dalam pentabdiran sebuah negara.

Sehubungan itu, beliau memberitahu parti pemerintah haruslah bersedia mengadakan pilihan raya dan membiarkan rakyat menentukan pemimpin yang mereka inginkan untuk mentadbir negara.

“Pemerintah tidak boleh mengukuhkan undang-undang sendiri kerana rakyat sudah menentukan keinginan mereka… malah kekuatan tentera dan polis juga tidak dapat menghalang kehendak rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Zainal, rakyat pada zaman sekarang sudah dapat berfikir secara rasional dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau percaya pemberontakan sedemikian tidak mungkin akan berlaku di Malaysia kerana pada kebiasaannya sistem demokrasi berparlimen telah diamalkan sejak sekian lama.

“Tempoh untuk mengadakan pilihan raya masih ada sehingga April 2013… jadi saya rasa rakyat tidak akan memberontak,” katanya.

Pada Isnin, rejim Gaddafi yang sinonim dengan pemerintahan kuku besi akhirnya tumbang selepas lebih enam bulan krisis berlaku di Libya.

Sekumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli tetapi nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya.

Mengulas mengenai insiden itu, Zainal berkata, masyarakat di Libya melakukan pemberontakan secara besar-besaran kerana ingin menghapuskan rejim autokratik yang diamalkan Gaddafi selama 42 tahun dan menegakkan sistem demokrasi.

“Peristiwa itu ibarat gerakan pembebasan terhadap kongkongan oleh pemerintah yang pada asalnya menghapuskan pemerintahan beraja. Gaddafi bertindak sebagai raja untuk memerintah negara itu dan menurunkan kuasa kepada anak-anaknya,” ujarnya yang juga ahli akademik.

Susulan kekacauan yang menimpa negara pengeluar minyak terbesar dunia itu, beliau berkata harga minyak di pasaran dunia dijangka naik.

“Pengeluaran minyak akan tergendala akibat kekacauan itu tetapi jika pengambilalihan kuasa berjalan lancar, situasi tersebut mungkin mempengaruhi keadaan harga minyak di pasaran dunia,” tambahnya.


http://www.kl-today.com/2011/08/ambil-pedoman-kejatuhan-gaddafi/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...