Wednesday, August 24, 2011

Berita Kompas mengenai Najib dan keluarga

Berita Kompas mengenai Najib dan keluarga
Ogos 22, 11 6:52pm

Akhbar Kompas semalam memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan keluarganya atas satu laporan yang disiarkan pada 4 Ogos lalu.

Berikut ialah berita sepenuhnya seperti yang tersiar di halaman 10 Kompas Minggu pada 21 Ogos.

PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di Malaysia
Oleh Jimmy S Harianto

Ada sekitar setengah jam Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Abdul Razak menerima kedatangan Kompas di ruang kerjanya di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya, Khamis (18 Ogos) tengah hari itu.

Selain membicarakan tulisan yang dimuat Kompas pada 4 Ogos, yang ternyata memberi kesan besar di Malaysia, tengah hari itu Kompas juga melakukan wawancara khas berkaitan dengan hubungan Indonesia-Malaysia.

"Saya terperanjat dengan muatan tulisan tersebut. Sebab faktanya, saya tahu itu tidak benar sama sekali," kata Najib.

"Apa lagi hal ini menyangkut nama Ketua Kerajaan negara jiran yang mana hubungan kita itu amat penting sekali," kata Najib lagi.

Tulisan yang ternyata memberi kesan besar di Malaysia itu, menurut Pejabat Perdana Menteri, rupanya dimanfaatkan untuk kepentingan politik tertentu.

Diperbanyak, dibuat salinan foto dan disebar ke desa-desa di seluruh pelusuk negeri jiran itu dalam rangka pilihan raya umum, yang bukan tidak mungkin akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Boleh diadakan tahun ini, boleh tahun depan, boleh pula tahun 2013," kata Najib.

Tulisan itu dinilai merugikan pihak kerajaan kerana ia antara lainnya telah mengaitkan pemilikan syarikat Perimekar Sdn Bhd dengan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

NONE"Sedangkan itu tidak benar" dan juga tentang Datin Seri Rosmah yang ditulis menghabiskan AS$24 juta untuk sebentuk cincin berlian. "Sedangkan cicin itu tidak pernah dipesan oleh beliau (Rosmah), baik untuk dibeli mahupun sebagai bahan pameran peribadi."

Selain itu, tulisan itu juga mengaitkan keluarga atau calon keluarga Najib dengan yang disebut "mafia Rusia". Padahal menurut Najib, hal itu tidak berasas.

Atas pemberitaan tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas Rikard Bagun, Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya "kepada Ketua Kerajaan dan Keluarga," kata Rikard.

Peluang pilihan raya

Ketika ditanya mengenai peluangnya pada pilihan raya umum yang akan datang, Najib berkata parti pemerintah Barisan Nasional "sudah boleh memperbaiki keadaan".

Pernah tergoncang pada pilihan raya umum 2008 yang lalu di mana parti pembangkang di bawah bendera Pakatan Rakyat (PR) - di bawah pimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri pada masa Mahathir Mohamad, iaitu Anwar Ibrahim - mampu menyeimbangi perolehan suara parti pemerintah, BN.

Pakatan Rakyat, yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam SeMalaysia (PAS), DAP (umumnya Cina) dan parti-parti kecil, mampu menguasai lima negeri. Sementara enam negeri dikuasai BN yang diterajui parti Melayu Umno.

Sebuah hasil yang tentu memeranjatkan berbanding pilihan raya sebelumnya ialah Barisan Nasional menguasai 10 negeri dan hanya satu negeri di Kelantan, yang dikuasai pembangkang PAS.

Peluang BN kali ini?

Boleh dikatakan sudah ada pemulihan keyakinan pada BN jika dilihat berdasarkan keputusan pilihan raya kecil.

Berdasarkan keputusan dua tahun kebelakangan ini, keadaan BN bertambah baik. Kita menang semua, kecuali satu saja. Dan kemenangan kita membawa BN ke kemenangan majoriti. Kelebihan undi pun meningkat.

Tetapi sayapun bersikap realistik juga. Sebab pilihan raya kecil tidak boleh dijadikan ukuran yang mutlak. Ukuran mutlak tentunya adalah pilihan raya umum, yang mungkin suasananya akan berbeza.

Jadi perlulah kita berusaha dengan segala daya upaya untuk membentangkan agenda dan program yang dapat memberi kepuasan dan keyakinan kepada rakyat.

Bukan sahaja dengan (membentangkan) program-program kerajaan, program ekonomi, tetapi juga program-program yang menyentuh rakyat. Program yang memberi kelegaan dan kepuasan kepada rakyat, terutama dalam konteks fenomena inflasi global - berhubungan dengan kenaikan harga makanan dunia.

Ini semua adalah isu-isu yang perlu kita tangani. Dan yang tak kurang penting adalah menjaga komunikasi dengan rakyat.

Mengenai fenomena demokrasi?


Model demokrasi itu berbeza-beza di setiap negara. Indonesia mempunyai pengalaman dari sistem yang agak ketat ke suatu demokrasi yang agak bebas, yang terbuka.

Malaysia memilih sistem yang melalui proses evolusi. Tetapi, prinsipnya jelas bahawa tidak ada kekebalan kepada parti pemerintah sekalipun. Bila ada pilihan raya, parti pemerintah senasib dengan parti pembangkang. Nasib di tangan rakyat, tak berlaku sebarang manipulasi untuk menentukan kesahihan dari perolehan suara. Undi ditentukan oleh rakyat.

Yang boleh menjadi polemik adalah definisi keterbukaan. Kita mempunyai pendapat tentang keterbukaan. Parti pembangkang pun mempunyai pendapat. Hanya saja, prinsip utama hak rakyatlah yang memilih kerajaan secara adil dan bebas.

Demokrasi juga diamalkan di Malaysia. Parti kerajaan pernah kalah di peringkat negeri dan memang belum pernah di peringkat pusat.

Di peringkat negeri sudah berlaku peralihan. Berlaku di Sabah. Di Terengganu juga pernah berlaku.

Harapan kepada Indonesia sebagai negara jiran yang juga Pengerusi Asean kali ini?


Saya mengharapkan hubungan bilateral (antara Malaysia dan Indonesia) ini sebagai hubungan yang amat intim. Ibarat hubungan dua negara tetangga yang mempunyai warisan yang sama dan erat daripada segi sejarah. Hubungan budaya, agama dan hubungan kekeluargaan (Najib mengaku keturunan ke-11 dari Kerajaan Gowa di Sulawesi Selatan).

Sudah tentu, hubungan Malaysia dan Indonesia ini diasaskan atas faktor yang lebih istimewa dan lebih unik. Dan kita harus menterjemahkan apa yang kita warisi ini sebagai legasi dalam bentuk hubungan pada konteks masa kini. Saling memberi manfaat kepada kedua bangsa.

Mengenai isu perbatasan kita cari penyelesaian. Tidak ada pertikaian yang tidak boleh diselesaikan. Harus ada kompromi jika kita mencari penyelesaian yang berbentuk penyelesaian politik.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/173795

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...