Sunday, October 19, 2008

Ayat-ayat penawar sihir


Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my




AYAT-AYAT Ruqyah boleh dibaca untuk merawat kejadian histeria seperti yang berlaku di beberapa buah sekolah baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

KEBELAKANGAN ini, peristiwa-peristiwa histeria dan sihir sering mengisi ruang akhbar dan kerap menjadi buah bicara. Ia mengundang keresahan dan kebimbangan orang ranai.

Namun, sebagai insan yang lemah, perasaan kebergantungan kepada Tuhan tidak wajar diputuskan. Memanjat doa kepada-Nya agar sentiasa dilindungi daripada makhluk halus dan mereka yang berniat jahat boleh menjadi perisai. Bukankah doa itu senjata bagi orang yang beriman?

Menyedari keperluan kepada doa berteraskan ayat-ayat suci al-Quran dan kurangnya pengetahuan masyarakat tentang doa yang boleh diamalkan, seorang anak muda mengambil inisiatif berbeza agar masalah ini dapat dicegah.

Anak muda yang dimaksudkan, Mohd. Taha Hassan, 27, berusaha menghasilkan album Ayat-Ayat Ruqyah yang dapat menjadi penawar sihir dan gangguan makhluk halus. Ayat-ayat yang merupakan potongan daripada ayat-ayat dari surah al-Quran itu dihimpunkan dalam satu album, satu usaha yang jarang sekali dilakukan.


MOHD. TAHA menghimpunkan ayat-ayat Ruqyah dalam satu album.

--------------------------------------------------------------------------------

"Apa yang saya lakukan ini adalah kerana kebimbangan saya melihat kejadian histeria dan sihir yang banyak berlaku dan kerana kurangnya pengetahuan orang ramai terhadap doa-doa yang boleh diamalkan. Akibatnya, ada di antara mereka yang bertemu dengan individu seperti bomoh, dukun atau pawang yang menggunakan cara rawatan yang mencurigakan," kata Mohd. Taha yang merupakan anak kepada tokoh agama terkenal, Datuk Hassan Azhari.

Telah mula membuat rakaman pada bulan Ogos lalu, album yang diusahakan bersama Inteam Records Sdn. Bhd. itu kini telah pun berada di pasaran.

"Jadi, dengan ini, mereka sudah mempunyai alternatif dan dapat mempelajari sendiri ayat-ayat pelindung yang terdapat di dalam al-Quran. Kita memohon perlindungan dengan Allah kerana Dialah berkuasa atas segala sesuatu.

"Selain mereka membaca sendiri, mereka juga boleh memasangkan CD atau kaset bacaan ayat-ayat ini di rumah, di sekolah atau di mana-mana yang bersesuaian untuk menghalau atau mencegah gangguan jin, syaitan dan perbuatan sihir," tambahnya.

Menyentuh tentang ayat-ayat Ruqyah ini, Mohd. Taha berkata, ia telah menjadi kebiasaan untuk diamalkan di Tanah Arab. Ayat-ayat Ruqyah itu juga dihimpunkan berasaskan hadis Nabi yang bermaksud, "Tidak apa-apa ruqyah itu selama tidak mengandungi syirik" - Hadis Riwayat Muslim.

Ayat-ayat Ruqyah dimulai dengan pembuka al-Quran iaitu surah al-Fatihah, diikuti dengan surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5, 102, 163 hingga 164, 255 hingga 257 dan 285 hingga 286.

Kemudian petikan bacaan dari surah Ali Imran ayat 18 hingga 19, surah al-A'raf ayat 54 hingga 56 dan banyak lagi. Terdapat 18 ayat kesemuanya dan diakhiri dengan doa Bismillah Ruqyah. Kesemua ayat-ayat ini dibacakan oleh Mohd. Taha dengan bacaan yang cukup tartil.

"Bagaimanapun, saya ingin jelaskan di sini, usaha ini bukanlah bermakna kita menolak rawatan moden, tetapi dengan manfaat al-Quran iaitu kalam Allah, maka keberkatan itu ada.

Mohd Taha memiliki diploma dalam tiga bidang iaitu al-Quran dan Sunnah, Tafsir wa Ulum Quran serta Pengajian Tinggi Islam dan Bahasa Arab.

Kemudian meneruskan pengajiannya di peringkat Ijazah Usuluddin Tafsir wa Ulum Quran. Kini, dia sedang melanjutkan pangajian di peringkat Ijazah dalam bidang Usuluddin Hadith di Universiti al-Azhar, Mesir.

Album ayat-ayat Ruqyah ini telah berada di pasaran sejak 25 Ogos lalu dan dijual pada harga RM9.90 bagi kaset dan RM16.90 bagi CD. Bagi yang berminat, bolehlah mendapatkannya di kedai-kedai buku dan kaset atau hubungi Inteam Records di talian 03-6273 6393.

http://www.kosmo.com.my/13102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...