Sunday, October 19, 2008

Mampu kesan penipu


PAKAR komputer menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah memberikan maklumat diri serta lokasi di ruang sembang internet bagi mengelak ditipu. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR – Sesiapa yang menipu di ruang sembang internet bukan sahaja boleh dikesan tetapi juga didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta denda.

Menurut Ketua Forensik Digital, CyberSecurity Malaysia, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin, kepakaran forensik siber sememangnya boleh digunakan bagi mengesan individu yang terlibat.

“Mengikut prosedur biasa, mangsa akan membuat laporan kepada polis dan kemudian dirujuk kepada kami bagi tujuan siasatan siber.

“Siasatan yang berbentuk teknikal akan dilakukan dan jika komputer yang digunakan adalah milik peribadi, identiti dapat dikesan dengan mudah tapi jika di kafe siber, siasatan menjadi sedikit sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk pendedahan Kosmo! Jumaat lalu berhubung tiga individu di Terengganu yang ditipu dalam ruangan sembang internet sehingga mengalami kerugian keseluruhannya berjumlah hampir RM25,000.

Modus operandi sindiket yang menggunakan umpan wanita jelita itu hanya bermula dengan sembang biasa namun berjaya mempengaruhi mangsa dengan meminta memasukkan sejumlah wang kononnya membayar cukai Kastam dan lain-lain.

Bagaimanapun kata beliau, siasatan sukar dilakukan jika individu yang menipu itu menggunakan Internet Protokol (IP) luar negara.

“Ini semua ada kaitan dengan amalan perundangan yang berbeza tapi dalam hal ini pihak kita akan memohon kerjasama polis,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity, Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri menasihatkan pengguna supaya jangan memberikan maklumat peribadi serta pilih nama samaran tanpa jantina semasa berbual di internet.

http://www.kosmo.com.my/13102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...