Sunday, October 19, 2008

Remaja semakin liar?


Oleh ALIAS ISMAIL
rencana@kosmo.com.my


REMAJA hari ini sudah tidak segan silu untuk melakukan maksiat.

--------------------------------------------------------------------------------

"HARI baik dan bulan baik sepanjang Syawal ini, tak usahlah buat kerja tak senonoh, berdosa.

"Jangan jadi macam mat saleh, berdua-duaan di luar batasan, apatah lagi Adilfitri perayaan agama Islam."

Itu nasihat pihak berkuasa agama negeri Terengganu kepada semua pihak terutama golongan remaja yang cenderung beraya secara 'songsang'.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Muhammad Ramli Nuh berkata, perkara itu berlaku pada tahun-tahun terdahulu.

Beliau berharap mulai sekarang, perkara itu bukan sahaja tidak berlaku pada musim perayaan, malah pada bila-bila masa pun.

Menurutnya, segelintir remaja mengambil kesempatan atas kelonggaran perhatian ibu bapa untuk berkunjung ke kawasan sunyi termasuk tempat perkelahan sepanjang cuti Syawal.

"Buat apa ke tempat begitu pada hari mulia begini? Bukan tuduh, tetapi kalau berdua-duaan dan berpasang-pasangan di tempat begitu, syaitan pun mulalah menghasut.

"Macam-macam boleh berlaku. Jadi, kalau nak selamat, elakkanlah berdua-duaan begitu dan tak usahlah ke hulu dan ke hilir berkepit naik motosikal untuk berkunjung ke rumah rakan taulan.

"Peliharalah budaya Islam yang sentiasa menggalakkan kita bergaul mengikut batas dan tata hidup murni," katanya kepada Kosmo!.

Beliau berkata, peringatan itu juga dibuat kerana kecenderungan remaja bergaul bebas semakin jelas termasuk sepanjang Ramadan yang lalu.

Menurutnya, terdapat segelintir remaja menganjurkan majlis berbuka puasa bersama pasangan di tepi pantai atau di taman, pada hal mereka ada niat lain selepas itu.



AKSI berdua-duaan di tempat gelap boleh mengundang pelbagai musibah.

--------------------------------------------------------------------------------

Katanya, walaupun mereka beraktiviti dalam keadaan beramai-ramai, perbuatan itu juga diklasifikasikan tidak senonoh jika terlalu bebas.

"Kalau ada pihak anjur majlis berbuka puasa di surau, mereka liat hendak pergi tetapi jika anjur berbuka di pantai, mereka boleh pula pergi. Lebih dikesalkan ada yang terlepas solat Maghrib kerana menghadiri majlis tersebut.

"Ini sudah tentu tidak bagus. Jangan bawa perangai kurang elok itu sepanjang Syawal dan pada hari-hari lain, tak kira hari raya pertama, kedua, atau seterusnya," ujarnya.

Menurutnya, proses mendidik diri ke arah kebaikan bukan sahaja dilakukan pada bulan Ramadan dan Syawal, malah perlu dipraktikkan sepanjang hayat pada bulan-bulan lain.

"Sepanjang kehidupan kita, perlakuan elok dan menjauhi maksiat amat dituntut oleh ajaran suci Islam," katanya.

Menurutnya, pihak penguatkuasa jabatan agama tidak lepas tangan memantau tingkah laku remaja sepanjang musim Aidilfitri ini.

"Pemerhatian sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa,'' katanya.

Pada satu perkembangan lain, tinjauan Kosmo! mendapati pelajar kini lebih gemar bercakap soal cinta di bilik darjah, bukannya memberi fokus dalam akademik.

Mungkin pahit ditelan, tetapi sekurang-kurangnya itu kesimpulan seorang ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di Dungun, Terengganu.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Zarina mendakwa, pelajar kini juga gemar 'berfoya-foya' pada waktu pertukaran mata pelajaran.

Katanya, pelajar tidak segan silu bergambar dalam pose istimewa termasuk duduk berhimpit, berpeluk sisi, dan memegang tangan di dalam kelas.

"Yang sedihnya, mereka baru berusia seawal 13 tahun tetapi sudah berani terjebak dalam wabak cinta yang hanya indah di mata.

"Sepatutnya, mereka bijak menggunakan waktu pertukaran mata pelajaran dengan menyediakan buku teks, menyiapkan latihan, atau mentelaah tajuk baru.

"Ini tidak, mereka duduk di sudut kelas, bercerita tentang 'masa depan' cinta, dan memadu kasih, padahal itu hanya cinta monyet," katanya.

Menurutnya, pelajar berkenaan juga berlagak samseng jika ditegur guru malah ada yang mencabar guru untuk bergaduh di luar sekolah.

Zarina yang juga seorang ibu kepada seorang anak di sekolah itu ketika menghubungi Kosmo! berkata, maklumat itu diperoleh beliau melalui anaknya.

Katanya, anaknya yang bersimpati dengan nasib guru yang mahu membetulkan fokus dan adab pelajar, menceritakan hal itu kepadanya baru-baru ini.

"Saya sedih kerana anak saya menerima kiriman beberapa keping gambar 'aksi' pelajar terlibat menerusi telefon bimbitnya.

"Gambar itu dikirim pelajar yang hanyut bercinta, mungkin untuk menunjuk-nunjuk kepada anak saya bahawa dia lebih 'jantan', berbanding pelajar lain.

Katanya, pendedahan itu dibuat agar menjadi renungan ibu bapa dan masyarakat bahawa banyak kesalahan dilakukan pelajar di sekolah tanpa mereka sedari.

"Saya mahu membuka mata ibu bapa bahawa di sekolah, guru sakit kepala memikirkan kerenah pelajar dan pada masa yang sama, mereka mahu membina kecemerlangan pelajar.

"Sebagai ibu bapa, kita kenalah lebih prihatin. Nasihat anak-anak agar mereka fokus pada pelajaran ketika di bangku sekolah dan bukannya bercinta," katanya.

http://www.kosmo.com.my/13102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...