Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Jika dalam kegiatan pelacuran ada 'ibu ayam' sebagai orang tengah, kegiatan menyeludup dadah ke luar negara juga ada perantaranya yang memainkan peranan sama.
'Ibu ayam' dalam sindiket kurier akan diupah sama ada oleh lelaki Afrika atau Timur Tengah supaya mencari gadis- gadis keluarga miskin yang inginkn kehidupan mewah.
Difahamkan, kegiatan 'sindiket Awang Hitam' itu kini mula masuk ke kampung-kampung di seluruh negeri kerana 'ibu ayam' sukar mendapat gadis bandar untuk membawa gold dust (serbuk emas) ke Eropah.
Modal 'ibu ayam' untuk menjerat gadis kampung amat mudah iaitu dengan menawarkan pakej bercuti ke luar negara dengan perbelanjaan serta wang saku dibekalkan.
Bagaimanapun, ada juga kes- kes gadis atau rakyat negara ini akan terjerat dengan sindiket itu melalui internet.
Mengulas lanjut mengenai kegiatan ini, Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, melalui siasatan, kebanyakan kes yang diterima melibatkan gadis berusia antara 20 dan 30 tahun.
Menurut beliau, sehingga kini seramai 118 wanita tempatan dikesan ditahan di luar negara kerana kesalahan membawa dadah.
"Selepas digula-gulakan dengan hasil lumayan yang bakal diperoleh, mangsa sanggup menipu ahli keluarga dengan memberitahu ada pihak yang mahu menaja mereka ke luar negara.
"Gadis-gadis itu tidak akan mendedahkan mengenai dadah yang terpaksa dibawa menyebabkan keluarga akan terkejut apabila ada maklumat anak mereka ditahan di luar negara kerana membawa dadah," katanya dengan memberitahu mangsa memang mengetahui mereka dikehendaki membawa bahan larangan tersebut.
Menurut beliau, setiap mangsa yang setuju dijadikan kurier, akan dibekalkan sekurang-kurangnya dua kilogram dadah dan biasanya ditawar upah RM20,000 setiap perjalanan berserta kemudahan lain termasuk elaun harian.
http://www.kosmo.com.my/14102008
No comments:
Post a Comment