Sunday, October 19, 2008

Waspada surat derma palsu – Jawi

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
berita@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya tidak tertipu dengan helah kanak-kanak yang mendakwa kononnya mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengutip derma.

Ini kerana Jawi tidak pernah memberi sebarang kebenaran kepada mana-mana pihak untuk berbuat demikian.

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali menegaskan, mana-mana pihak yang ditangkap mengutip derma dengan menggunakan nama Jawi boleh didakwa mengikut undang-undang kerana menipu.

“Saya kesal masih ada pihak menggunakan nama Jawi untuk mengutip derma sedangkan pihak kami tidak pernah membenarkan kutipan derma terutama kepada warga asing.

“Surat yang mereka kemukakan kononnya kebenaran Jawi untuk mengutip derma adalah palsu dan orang ramai jangan terpedaya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Che Mat mengulas tindakan ejen-ejen meminta sumbangan derma yang menggunakan kanak-kanak di Shah Alam, kononnya untuk mengumpul wang bagi membangunkan madrasah di Narathiwat, Thailand.

Ejen berkenaan juga dilaporkan menjaja sekeping dokumen kebenaran dilengkapi kepala surat Jawi semasa meminta derma untuk meyakinkan orang ramai.

Menurut Che Mat, kes sedemikian yang menggunakan nama Jawi untuk menipu orang ramai pernah beberapa kali berlaku dan mereka yang terbabit sudahpun ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kami sudah tangkap mereka yang terlibat, tetapi kejadian ini masih berulang. Kalau betul-betul mereka perlukan bantuan, datang jumpa saya untuk memohon duit zakat, bukan dengan menipu,” tegasnya.

http://www.kosmo.com.my/13102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...