Thursday, April 30, 2009

Dunia diambang pandemik


SEKUMPULAN pelajar sekolah Mexico mendengar arahan selepas tiba 
di Lapangan Terbang Barajas di Madrid, Sepanyol semalam.


BANDAR RAYA MEXICO - Para pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan tahap amaran pandemik atau wabak global ketika jumlah negara terjejas akibat penyakit itu meningkat dengan mendadak semalam.

Pihak berkuasa di Mexico menyatakan 152 orang mati akibat selesema babi namun jumlah kes di Amerika Syarikat melonjak lebih dua kali ganda manakala enam negara lain mengesahkan kes pertama masing-masing.

Setakat ini, pihak berkuasa di Asia yang pernah terjejas akibat wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, masih optimis dapat mengawal penyebaran virus selesema babi, H1N1 menerusi saringan ke atas para penumpang penerbangan dari lokasi-lokasi terjejas selain mengeluarkan amaran tidak berkunjung ke Mexico.

Bagaimanapun, WHO dalam satu sidang akhbar semalam mendakwa, proses saringan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang tidak berkesan dalam membendung wabak itu.

"Kawalan sempadan tidak berkesan. Begitu juga dengan proses saringan," kata jurucakap WHO di Geneva, Gregory Hartl.

"Jika seseorang individu terdedah atau dijangkiti H1N1, dia mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan di lapangan terbang. Kami banyak belajar daripada SARS," tambahnya.

WHO meningkatkan amaran pandemik daripada tiga pada tahap tertinggi iaitu empat semalam sekali gus membayangkan dunia semakin hampir dilanda wabak selesema babi.


PEGAWAI kuarantin Korea Selatan cuba mengambil sampel air liur daripada seorang bayi di Lapangan Terbang Incheon, Seoul semalam.


"Ketika penduduk dunia bebas dan pantas bergerak ke merata tempat menggunakan pesawat, tiada tempat di dunia yang tidak berisiko dijangkiti virus H1N1," kata pemangku timbalan ketua pengarah WHO bagi hal ehwal kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, Keiji Fukuda.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu tidak menggalakkan mana-mana negara untuk menutup sempadan dan menguatkuasakan larangan perjalanan.

"Dengan keupayaan virus H1N1 menular dengan amat pantas, penutupan sempadan atau larangan perjalanan tidak akan berkesan dalam membendung penyebaran selesema babi," jelasnya.

Sementara itu, kerajaan Mexico menyatakan jumlah kes disyaki H1N1 bertambah kepada 1,614 setakat ini.

Di ibu kota Mexico yang dihuni 200 juta orang, keadaan semalam sunyi apabila banyak tempat awam termasuk, zoo, muzium, gereja dan restoran ditutup manakala orang ramai memilih untuk tidak keluar rumah.

Di Britain, dua rakyatnya disahkan diserang selesema babi selepas mereka pulang dari percutian bulan madu di bandar peranginan Cancun, Mexico pada minggu ini.

Selain Britain, kes selesema babi di Eropah hanya berlaku di Sepanyol namun terdapat beberapa kes disyaki penyakit maut itu sedang dipantau di Jerman dan Austria.

Sejumlah 51 orang dijangkiti selesema babi di Amerika Syarikat manakala Kanada pula berdepan dengan enam kes.

Virus H1N1 turut merebak ke Israel dan New Zealand apabila pihak berkuasa negara berkenaan mengesahkan kes pertama selesema babi masing-masing.

Di Asia, pihak berkuasa kesihatan Thai mengasingkan seorang wanita di hospital selepas dia disyaki dijangkiti H1N1 manakala Korea Selatan memantau kes pertama disyakki selesema babi.

Di Australia pula, pihak berkuasa negara itu sedang menyiasat 70 kes jangkitan selesema babi yang menyaksikan pesakitnya mengalami simptom demam mengejut, sakit tekak, batuk dan sakit sendi diikuti dengan radang paru-paru.

Wabak maut itu menular melalui jangkitan antara manusia dengan manusia dan mampu tersebar melalui udara.

Sebelum ini, wabak 'selesema Sepanyol' yang melanda dunia pada 1918 telah mengorbankan antara 20 dan 100 juta orang di seluruh dunia. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...