mohdazam@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Situasi penularan kes jangkitan Selesema Babi atau Swine Flu yang semakin meningkat di seluruh dunia terus mendapat perhatian apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bermula semalam secara rasmi menetapkan ia sebagai wabak dengan menamakannya wabak Influenza A H1N1 dan bukan lagi seperti nama yang digunakan sebelum ini.
Ini berikutan situasi semasa penularan wabak berkenaan seluruh dunia semakin meningkat dan terus merebak dengan cepat apabila lapan kematian dicatatkan sehingga kini selain dua lagi negara iaitu Switzerland dan Belanda turut melaporkan kes terbabit.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Ismail Merican, berkata daripada laporan yang diterima daripada WHO, sebanyak 11 negara melaporkan penularan wabak itu dengan bilangan kes terkini 331 kes membabitkan sembilan kematian.
Bagaimanapun, katanya tahap amaran penularan wabak itu masih lagi berada di Tahap 5 dan sehingga kini belum lagi ada sebarang sekatan dari aspek kesihatan, perjalanan dan perdagangan dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia itu membabitkan mana-mana negara.
“Kami sentiasa berhubungan dengan WHO bagi mendapatkan maklumat terkini penularan wabak itu berikutan angka kes yang dilaporkan di seluruh dunia sejak kali pertama di kesan di Mexico mencatatkan peningkatan.
“Justeru, pelbagai usaha dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan melakukan penyaringan kesihatan di semua pintu masuk utama negara terutamanya terhadap pelancong khususnya dari negara yang dilanda wabak Influenza A (H1N1).
“Setiap pelancong yang disaring diberi Kad Peringatan Kesihatan dan Borang Pengisytiharan Kesihatan bagi mengesahkan status kesihatan mereka itu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini semalam.
Menurutnya, sehingga Khamis lalu, saringan yang dilakukan ke atas 829 penumpang yang menaiki 16 penerbangan antarabangsa di negara ini menunjukkan perkembangan negatif berikutan tiada tanda jangkitan wabak itu dikesan.
Katanya, Bilik Gerakan peringkat Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri terus membuat pemantauan bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi semasa penularan wabak itu di negara ini selain memastikan tindakan proaktif diambil terutamanya jika menerima sebarang laporan berkaitan kes itu.
“Berdasarkan pemantauan kes seperti itu yang dilakukan di semua fasiliti perubatan dan kesihatan seluruh negara, kita mendapat maklum balas bahawa sehingga kini tiada kes penularan wabak itu dilaporkan termasuk kes yang disyaki.
“Malah, ujian dilakukan terhadap seorang pesakit yang ditahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini juga mengesahkan pesakit berkenaan bebas dari jangkitan wabak Influenza A (H1N1),” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090502084232/Article/index_html
No comments:
Post a Comment