TANGGAL 11 Januari 1998, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Menanti, Negeri Sembilan, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60, menikahi pelakon terkenal, Norish Karman atau nama sebenarnya Norashikin Karman, kini 34, di Perlis.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhamad Haqiem Amany, 9, Muhammad Hady Amieran, 5, dan Nur Hanyz Amanda, 4.
Namun setelah 10 tahun melayari bahtera perkahwinan, pawaka kemarahan melanda. Mereka bercerai pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Syariah Petaling Jaya.
Tiada komunikasi yang lancar, masing-masing menggunakan media sebagai medium perantaraan termasuk dalam konflik terbaru iaitu tuntutan nafkah oleh Norish.
Tidak mengalah dengan kisah pahit hidupnya, Norish menganggap semuanya sebagai ketentuan Ilahi.
Yang penting kini buatnya ialah harta sejati iaitu anak-anak yang ibarat nyawanya. Norish meluahkan rasa yang terpendam dalam dirinya kepada SensasiBintang semalam.
Apakah perasaan anda sekarang?
Okey, walaupun macam-macam benda berlaku. Saya masih menunggu sebutan semula kes tuntutan nafkah saya pada 16 Mei ini.
Bagaimanakah dengan anak-anak?
Saya takkan serahkan anak saya pada dia (Hashimuddin). Anak adalah nyawa saya. Saya minta janganlah ambil anak-anak saya.
Tapi anda tiada kerja tetap dan masih mengharapkan nafkah daripada bekas suami?
Ibu ialah orang yang paling berhak ke atas anak-anak, bukan bapanya. Anak-anak adalah milik ibu.
Berkenaan dengan nafkah, benarkah bekas suami anda sudah memberi apa yang sepatutnya?
Mana ada. Sepuluh sen pun saya tak dapat. Dengar ini. Saya hidup dengan duit berlakon dalam Spa-Q. Saya hanya diberikan RM700 setiap bulan. Itu pun untuk anak-anak. Bil elektrik, sewa rumah dan perbelanjaan untuk tiga orang anak, saya terpaksa cari sendiri bila duit itu dah habis.
Bukankah anda disediakan seorang pemandu dan orang gaji?
Pemandu hanya diarah untuk ambil dan hantar anak saya ke sekolah. Saya sendiri sudah diberitahu oleh pemandunya supaya jangan naik kereta tersebut. Tentang orang gaji, saya bayar separuh daripada gaji pembantu rumah tersebut.
Apakah perlunya anda tuntut kereta Nissan Murano seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini?
Saya tak pernah tuntut Murano. Kereta itu dah tiga empat tahun saya guna. Dah macam-macam masalah kereta itu. Jadi buat apa saya minta kereta itu. Baik saya minta kereta baru.
Betulkah anda punca keretakan rumah tangga yang dibina?
Selama 10 tahun saya mempertahankan rumah tangga ini walaupun hati saya hancur. Saya mengaku saya yang minta cerai. Tapi takkan saya sengaja nak minta cerai bila sudah 10 tahun kahwin. Mesti ada sesuatu yang melukakan hati saya. Fikirlah balik kalau sayalah puncanya.
Bagaimanakah dengan dakwaan anda curang?
Itu tidak benar. Lelaki dayus saja yang akan cakap macam itu. Saya tahu apa dia buat di belakang saya. Jangan ingat saya tak tahu.
Jadi apa sebenarnya hubungan anda dengan Luqman, lelaki yang dikaitkan sebagai punca keruntuhan rumah tangga kalian?
Jangan babitkan dia lagi. Cukuplah, dia dah banyak bantu saya. Saya berterima kasih sangat pada dia dan saya harap dia tidak lagi diganggu.
Banyak perkara yang terjadi pada anda. Mungkin anda ada menyimpan dendam pada bekas suami?
Saya tak marah. Saya tak dendam. Tapi saya kasihan dan sedih dengan dia.
Bagaimanakah kehidupan anda sekarang tanpa kerja tetap?
Saya tak tipu bila saya cakap saya tak ada duit. Kadang-kadang nak pergi shooting pun kawan-kawan terpaksa ambil. Kalau tak, saya naik teksi. Bil elektrik pun belum bayar lagi sebab anak-anak perlukan duit belanja.
Saya sendiri sudah empat bulan tak ada kerja. Tapi saya seorang yang kuat. Saya harap orang di luar faham kesusahan yang saya alami. Orang ingat Norish Karman kaya, tapi bukan itu realitinya.
Apakah rancangan anda selepas insiden ini selesai?
Saya sedang berusaha menerbitkan sebuah album yang mengandungi enam buah lagu. Cuma saya perlukan pihak untuk mengedarkannya. Saya harap sangat ada pihak yang bermurah hati membantu saya.
Saya juga sedang merancang untuk sambung pengajian ijazah dalam bidang psikologi, selain buka galeri lukisan dan jual semua hasil lukisan saya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm
No comments:
Post a Comment