Sunday, May 3, 2009

Selesema babi landa Hong Kong


PENGHUNI-PENGHUNI Hotel Metro Park memakai topeng muka di Hong Kong semalam.



GAMBAR menunjukkan lelaki Mexico yang disahkan menghidap selesema babi dibawa ke Hospital Princess Margaret, Hong Kong semalam.



BEBERAPA anggota polis memakai topeng muka bertindak menutup Hotel Metro Park di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Kerajaan Hong Kong semalam mengesahkan pesakit pertama yang disahkan menghidap penyakit selesema babi atau influenza A H1N1 sekali gus menjadikannya kes pertama di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang berkata, pesakit itu ialah seorang warga Mexico yang mengalami demam selepas tiba di Hong Kong menerusi Shanghai kelmarin.

Menurut Donald, sejumlah ujian oleh Jabatan Kesihatan dan Universiti Hong Kong mengesahkan lelaki itu menghidap penyakit influenza A H1N1.

Pesakit itu kini diasingkan di sebuah hospital dan berada dalam keadaan baik, katanya.

Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai identiti pesakit itu.

Donald menambah, Pengarah Kesihatan, Lam Ping-yan mengarahkan hotel Metro Park yang didiami pesakit itu dikuarantin.

Sejumlah rakaman televisyen menunjukkan sekumpulan pegawai polis menutup hotel itu sambil memakai topeng dan sarung tangan manakala seorang pekerja membawa sebuah kotak yang ditanda ubat 'antivirus.'

"Kami mengasingkan hotel ini dan memastikan individu tertentu dikuarantin selama tujuh hari. Kami juga memberikan ubat Tamiflu kepada mereka setelah dia diuji berkesan terhadap beberapa kes di Mexico," kata Setiausaha Kesihatan, York Chow.

Menurutnya, hampir 200 orang terbabit dalam perintah kuarantin itu yang dikeluarkan untuk mengawal dan memastikan virus influenza A H1N1 tidak merebak.

Usaha pihak berkuasa Hong Kong kini adalah untuk mencari dua pemandu teksi yang berjumpa dengan warga Mexico tersebut serta penumpang yang mengembara bersamanya dalam pesawat China Eastern MU 505 dari Shanghai.

"Kami mencari penumpang-penumpang penerbangan berkenaan terutama yang duduk di barisan depan dan di belakangnya," kata York.

Tambah beliau, pihaknya bersedia untuk menghantar penumpang berkenaan ke hospital bagi diperiksa atau kuarantin.

"Melalui langkah ini, kami berharap dapat meminimumkan penularan virus tersebut kepada orang ramai di Hong Kong," tambahnya.

Di Asia Pasifik, New Zealand melaporkan empat ujian makmal mengesahkan kes selesema babi dan 12 lagi kes disyaki.

Hampir 170 mati disyaki menghidap influenza A H1N1 di Mexico sejak wabak itu mula dikesan 13 April lalu. Seorang bayi berumur 23 bulan mati di Amerika Syarikat (AS) dan enam negara Eropah turut mengesahkan kes sama selain di Kanada dan Israel. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...