NEW YORK - Seorang pekerja di sebuah kedai barangan kemas di sini mencuri emas yang berat keseluruhan 226.79 kilogram dalam tempoh enam tahun dengan menyembunyikannya dalam beg tangan, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut pihak berkuasa, pekerja itu, Teresa Tambunting, 50, pada mulanya menyeludup beberapa auns emas di dalam ruang khas beg tangannya.
Beberapa pegawai di kedai emas itu mula mengetahui kehilangan emas selepas membuat audit pada Januari lalu.
Mereka mendapati sejumlah emas bernilai AS$12 juta (RM42.7 juta) hilang.
Beberapa hari selepas pegawai-pegawai itu mencari kesilapan dalam membuat audit, Tambunting datang ke tempat kerja dengan membawa 27.71 kilogram emas yang dicurinya.
Dia kemudian menyatakan tidak ada lagi emas yang dicuri.
Namun, beberapa hari kemudian, dia mengubah pendirian dan datang bersama peguam dengan beberapa bakul emas seperti cincin, rantai leher, subang dan barangan kemas lain.
Jumlah emas yang dibawa itu seberat 203.118 kilogram.
Presiden Jacmel Jewelry yang memiliki kedai itu, Jack Rahmey menyatakan Tambunting yang berasal dari Filipina merupakan seorang pekerja paling dipercayai.
Wanita itu yang sudah bekerja selama 28 tahun di kedai tersebut kemudian dibebaskan pada Selasa lalu dengan ikat jamin sebanyak AS$100,000 (RM355,948). - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm
No comments:
Post a Comment