Sunday, May 3, 2009

Nenek ke Malaysia selamatkan cucu

KUALA LUMPUR - Naluri keprihatinan seorang nenek berjaya membantu menyelamatkan cucunya daripada terus didera dan dikurung sejak empat bulan lalu di sebuah rumah flat di Sentul Pasar di sini.

S. Pushparatnam, 52, mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku ke atas cucunya, Dil Ruckshan, 14, selepas mendapati ejen di Sri Lanka yang sepatutnya membawa cucunya itu berjumpa dengannya di Switzerland menipunya.

Dia yang merupakan warga Switzerland memberitahu, sebelum itu dia mengupah sebuah syarikat di Sri Lanka untuk menguruskan kedatangan cucunya selepas mendapati kehidupan remaja tersebut tidak terjamin di negara asalnya.

"Saya telah membayar sebanyak Euro 8,500 (RM40,137) untuk urusan itu dan ejen berkenaan memberitahu saya hanya perlu menunggu cucu saya di lapangan terbang pada 21 Ogos tahun lalu dan tidak perlu risau apa-apa.

"Tetapi mereka rupa-rupanya membawa Ruckshan ke Malaysia sebagai transit sebelum diserahkan kepada seorang lagi ejen wanita yang didakwa sebagai rakannya," katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan MIC di Jalan Rahmat di sini semalam.

Pusparatnam yang terkejut dengan tindakan ejen tersebut yang kemudian memintanya membayar Euro 1,000 lagi untuk urusan visa dan tempat tinggal cucunya enggan berbuat demikian selepas menyedari dia ditipu.

Menurut Pushparatnam, selepas berbincang dengan rakan dan ahli keluarga, mereka mencadangkannya supaya segera ke pejabat MIC di sini dan datang seorang diri sebelum mengadu masalahnya pada 24 April lalu.

"Tiga bulan pertama ketika Ruckshan tiba di sini, saya masih dapat menghubunginya menggunakan nombor telefon bimbit tetapi selepas itu saya langsung tidak tahu mengenai keadaannya. Saya mula risau akan keselamatannya,'' kata wanita itu.

Ekoran aduan Pushparatnam, Ketua Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi Pemuda MIC Kebangsaan, T. Mohan berkata, pihaknya terus merujuk masalah wanita itu ke Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman sebaik sahaja menerima aduan tersebut sebelum dirujuk pula kepada polis daerah Sepang.

Siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan dua suspek Ahad lalu. Polis seterusnya berjaya menyelamatkan Ruckshan daripada didera selepas dikurung selama empat bulan di sebuah rumah flat di Sentul Pasar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...