Sunday, May 3, 2009

Jerat cinta gadis genit

Oleh Salman Hamat 
salman@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sekumpulan gadis genit berusia belasan tahun menggunakan kebijaksanaan mereka mengatur ‘ayat cinta’ untuk memikat lelaki, sebelum menyamunnya dan melarikan diri.

Menurut sumber, kumpulan itu dipercayai dianggotai tiga gadis turut disertai lima lelaki akan melepak berhampiran sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota sambil memerhatikan lelaki yang dianggap sesuai dijadikan mangsa.

Mereka dikatakan bergerak dalam dua kumpulan berasingan untuk mengelak kegiatan itu disedari mangsa dan orang ramai di kawasan sekitar.

Episod penipuan kumpulan itu bermula apabila si gadis yang sudah mengenal pasti lelaki yang bakal dijadikan mangsa mengekori dan mula menyapa kononnya untuk berkenalan.

Melihat mangsa mula leka, gadis terbabit kemudian akan mengajak untuk bersembang serta bercerita mengenai hal masing-masing sambil satu lagi kumpulan akan memerhatikan dari jauh gelagat pasangan itu.

“Selepas menerima isyarat tertentu, kumpulan lima lelaki terbabit yang melihat pasangan baru berkenalan itu mula intim kemudian mula memainkan peranan mereka dengan berlakon mengaku sebagai suami, abang, teman lelaki atau saudara gadis terbabit untuk mengugut mangsa.

“Dengan wajah bengis dan garang, kumpulan lelaki terbabit berlakon seolah-olah bengang dengan tindakan mangsa yang didakwa bermain kayu tiga dengan lelaki lain atau si mangsa kononnya cuba merampas kekasihnya,” katanya. 

Mangsa yang kebingungan dan panik dengan kehadiran kumpulan lelaki itu kemudian diugut untuk dicederakan.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit bijak mengambil peluang apabila dikatakan mula menyamun mangsa ketika keadaan kelam-kabut itu sebelum melarikan diri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090502084457/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...