sarah@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 pasukan yang menyertai sebuah kejohanan futsal yang dijadualkan berlangsung hari ini terkilan apabila menyedari mereka menjadi mangsa penipuan selepas penganjur dipercayai menghilangkan diri.
Difahamkan, kejohanan futsal pertama kali yang dianjurkan tiga lelaki bergelar Datuk itu menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM45,000 bagi kategori lelaki dan RM15,000 bagi kategori wanita.
Disebabkan hadiah lumayan itu, ramai peminat sukan futsal mendaftar untuk menyertai kejohanan dengan membayar wang pendaftaran RM200 bagi setiap pasukan.
Bagaimanapun, mereka terkejut apabila gagal menghubungi penganjur sebelum dimaklumkan pertandingan itu dibatalkan kerana pengurusnya tidak dapat dihubungi.
Menurut seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zabrina, 30-an, pasukannya membayar wang pendaftaran RM200 kepada urusetia kejohanan sebelum tarikh tutupnya pada Rabu lalu.
“Saya cuba menghubungi urusetia kejohanan hari ini (kelmarin) melalui petugas yang menguruskan pendaftaran peserta. Namun, petugas itu memaklumkan kejohanan itu dibatalkan kerana penganjurnya menghilangkan diri.
“Malah, petugas pendaftaran itu juga mendakwa mereka turut ditipu kerana tidak dibayar gaji oleh pihak penganjur terbabit,” katanya.
Sabrina bersama lebih 20 pasukan lain serta petugas pendaftaran kemudian membuat laporan polis terhadap penganjur di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, malam kelmarin.
Sementara itu, jurucakap gelanggang yang bakal digunakan untuk kejohanan itu berkata, pihaknya tidak terbabit dalam urusan mengendalikan pertandingan futsal itu.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090607052355/Article/index_html
No comments:
Post a Comment