Sunday, June 7, 2009

Selera hidangan Barat

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my




Sajian ringkas bagi makan tengah hari

BAGI ahli perniagaan dan golongan korporat, waktu makan tengah hari adalah antara masa yang sesuai serta sering digunakan untuk berbincang atau bertukar-tukar pandangan. Sambil duduk menjamu selera, masing-masing akan rancak berbual dan berbincang mengenai pelbagai perkara.

Justeru, tempat yang sesuai diperlukan untuk berbuat demikian. Menyedari keperluan itu, Oswego Wine Bar di Hotel & Spa Impian KLCC menawarkan promosi, Carvey Lunch khusus untuk ahli perniagaan dan warga korporat untuk menikmati makan tengah hari di tempat lebih selesa serta memenuhi keperluan mereka.

Promosi itu bermula sejak April lalu dan sejak diperkenalkan ia mendapat sambutan yang agak menggalakkan. Memenuhi konsep diketengahkan tempat itu dilengkapi beberapa kemudahan seperti televisyen yang sentiasa menyiarkan saluran berita perniagaan, akhbar dan majalah tempatan serta luar negara, khusus berkaitan perniagaan. Menu hidangan makanan yang disediakan pula bersesuaian dengan konsep promosi berkenaan.

Chef Eksekutif, Steven Seow, berkata tempat itu menyediakan menu hidangan Barat yang akan bertukar setiap hari, namun hidangan istimewa ayam panggang, lemon-rosmary roasted whole chicken dan daging panggang, peppered roasted eye of beef, disajikan setiap hari kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada pengunjung.

Seow berkata, menu hidangan Barat menjadi pilihan kerana didapati bukan saja digemari ramai, tetapi sesuai dinikmati bagi golongan ahli perniagaan dan warga korporat yang sibuk serta sentiasa ingin mengejar waktu serta lazimnya, inginkan makanan tengah hari lebih ringkas.



“Sebelum ini kami pernah menyediakan pilihan hidangan masakan tempatan dan keenakannya memang tidak dinafikan begitu sedap. Namun, memenuhi keperluan dan untuk menjimatkan masa pelanggan yang sentiasa sibuk, kami menukarkannya kepada menu hidangan Barat.

“Apa yang menjadi keutamaan ialah makanan dihidangkan bukan saja dipastikan sedap dan mengenyangkan, tetapi juga mempunyai elemen makanan sihat serta seimbang. Pada masa sama, makanan dihidangkan mestilah senilai dengan harga dibayar oleh pelanggan,” katanya.

Hidangan setiap hari disediakan ialah hidangan sajian di atas troli, salad dan pembuka selera, sup, roti serta pemanis mulut. Harganya ialah RM28++ untuk seorang.

Seow berkata, untuk salad setiap hari lima jenis campuran disediakan dan hidangan itu dipastikan pilihan yang segar dan sihat iaitu mengandungi zat seperti karbohidrat, protein dan vitamin. Begitu juga hidangan sup sentiasa yang menambat selera dan antara yang menjadi pilihan ialah sup tomato Itali Rossini, sup Jepun, Miso, sup lobak krim, sup labu dan sup makanan laut.

Roti pula ada empat jenis pilihan, manakala untuk sajian di atas troli juga ada aneka seperti kentang parmesan, sayur-sayuran campuran, kentang panggang, ayam dan daging panggang serta banyak lagi. Untuk pemanis mulut selain dari buah-buahan tropika disediakan juga kek, jeli dan banyak lagi.

Dengan suasana yang tenang dan selesa, pengunjung akan berasa senang hati untuk menikmati hidangan disajikan. Pada masa sama, dapat berbual-bual atau memenuhi matlamat yang ingin dicapai ketika perbincangan diadakan. Untuk tempahan hubungi 03-21471111 atau e-mel info.impinaklcc@impiana.com.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ratu/20090606094552/Article/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...