Ahli keluarga mangsa pesawat Air France yang terhempas masih belum berpuas hati dengan laporan mengenai punca nahas.
Satu operasi laut besar-besaran untuk mencari mayat 228 penumpang pesawat Air France AF447 yang terjunam di Lautan Atlantik minggu ini telah dipersetujui selepas usaha mencari sebelum ini gagal.
Sebagai meningkatkan usaha mencari, sebuah kapal selam nuklear Perancis dilaporkan sedang menuju ke zon carian yang terletak 1,000 kilometer di timur laut Brazil dengan misi mencari kotak hitam pesawat malang yang terbang dari Rio de Janeiro ke Paris Isnin lalu.
Turut serta dalam operasi itu ialah dua kapal milik tentera laut Brazil yang terlibat dalam usaha mencari Jumaat lalu dan tiga kapal tentera lain yang diterbangkan menggunakan 12 pesawat tentera Brazil dan Perancis.
Menurut Ketua Kawalan Trafik Udara yang bertugas di lokasi terbabit, Brigadier Brazilian Ramon Cardoso, belum ada sebarang penemuan bahan di sekitar lokasi dipercayai tempat pesawat terjunam.
“Beberapa barang yang dijumpai terapung di sekitar kawasan ini tidak berkaitan dengan insiden tersebut. Ditambah pula dengan cuaca buruk yang mengehadkan penglihatan dan arus yang berubah haluan, tiada sebarang penemuan dapat dilakukan,” katanya.
Pegawai Brazil berkata, pihaknya yang menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap terhadap barangan yang ditemui mendapati ia hanya sampah sarap yang mungkin dibuang oleh kapal-kapal yang melalui kawasan tersebut.
Berpandukan petunjuk awal yang ditemui Selasa dan Rabu lalu iaitu kerusi penumpang dan komponen lain, para penyelamat yakin mereka berada di lokasi tragedi yang betul.
Cardoso berkata, serpihan pesawat mungkin telah tenggelam di dasar laut, di mana kotak hitam kapal terbang dipercayai berada. Namun, tanpa sebarang petunjuk daripada bangkai pesawat atau data dalam kotak hitam itu, timbul spekulasi tentang punca kemalangan itu berlaku.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Perancis, Herve Morin memberitahu wartawan di Paris, beliau belum mengetepikan penglibatan pengganas dalam insiden itu walaupun tiada sebarang ancaman diterima sebelum ini.
Menteri Pengangkutan Perancis pula, Dominique Bussereau berkata, operasi mencari perlu dilakukan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut walaupun ia terpaksa mengambil banyak masa.
Ketua Pengarang Flight International, David Learmont pula berkata, tanda amaran yang dikeluarkan pesawat bukan panduan tepat untuk para menyiasat tahu apa sebenar yang terjadi tetapi ia dilihat sebagai petunjuk bagi kemalangan yang berlaku sebelum ini.
“Apa yang dikatakan oleh Airbus ialah apa jua keadaan yang dihadapi oleh juruterbang, mereka tidak boleh menguruskannya. Kita tidak tahu situasi sebenar yang mereka hadapi tetapi hanya mengetahui serba sedikit mengenai keadaan yang mereka alami,” katanya kepada AFP.
Sementara menunggu hasil siasatan dan petunjuk, ahli keluarga mangsa pesawat malang itu melahirkan rasa kecewa dengan penemuan bukti yang menyebabkan mereka kehilangan orang tersayang selamanya.
Sekumpulan saudara-mara kepada 10 warga Brazil yang menjadi mangsa telah diterbangkan ke pusat operasi mencari di Recife pada Jumaat lalu untuk bercakap dengan juruterbang yang terlibat dalam operasi mencari itu.
Mereka meninggalkan pusat operasi tersebut tanpa bercakap dengan media dan kembali semula ke Rio de Janeiro untuk menghadiri satu upacara memperingati kematian penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.
Sementara itu, Pertubuhan Peguam Rio mengutuk ‘gangguan berterusan’ yang dilakukan saudara-mara mangsa dan warga asing yang berbaur tuntutan mahkamah untuk mengaut keuntungan daripada tragedi tersebut.
Mana-mana peguam Brazil yang cuba mendaftar kes berkenaan tragedi itu akan dihukum dan mana-mana peguam asing yang menandatangani visa pelancong untuk melobi sokongan perniagaan yang membelakangkan undang-undang juga bakal berdepan dengan tindakan.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
No comments:
Post a Comment