Sunday, June 7, 2009

Belanga: Raja tom yam

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my


AHMAD Zahidi (kiri) bersama petugas Eiman Tom Yam yang bersedia menyambut pelanggan menjamu selera di restoran berkenaan.

Eiman sedia pelbagai jenis masakan unik pikat pengunjung

KEENAKAN hidangan yang disajikan sering menjadi buah mulut pengunjung terhadap restoran yang dikunjungi. Selain itu, kebersihan, kecekapan kakitangan dan kemudahan asas seperti tandas serta surau juga antara faktor pendorong kepada pelanggan untuk membuat kunjungan ulangan ke restoran berkenaan.

Sehubungan itu, kombinasi sajian enak, sifat mesra pelanggan dan kemudahan awam seperti surau menjadi asas penting dalam perniagaan berasaskan makanan menyebabkan Restoran Tom Yam Eiman (Eiman) terus dikunjungi pelanggan di Taman Tun Dr Ismail Jaya, Shah Alam.

Pengurusnya, Ahmad Zahidi Ahmad Ramli, berkata sifat mesra pelanggan dan kemudahan asas yang disediakan pihaknya adalah bonus bagi mereka sekiranya diberi perhatian oleh pengunjung, tetapi berdasarkan perhatian beliau, sajian pelbagai jenis tom yam adalah daya penarik utama terhadap restoran berkenaan.

“Eiman menawarkan lebih 20 jenis tom yam. Antara yang sering dipesan pengunjung ialah tom yam Eiman dan tom yam urat keting. Kedua-dua jenis tom yam ini, saya kira berjaya mencuri perhatian pengunjung mungkin kerana keunikan nama menu itu selain bumbu istimewa yang kami gunakan,” katanya ketika ditemui di Eiman, baru-baru ini.

Manakan tidak, tom yam Eiman boleh dianggap raja tom yam di premis berkenaan kerana isinya yang pelbagai seperti udang, ayam, daging, sotong, ketam dan cendawan yang dicampur bersama bunga kobis, jagung serta bawang besar yang menimbulkan aroma menyelerakan lebih-lebih lagi apabila ditumis bersama pes tom yam.

TOM YAM Eiman yang dipenuhi pelbagai isi menarik perhatian pengunjung restoran itu.

Tom yam urat keting juga tidak mengecewakan bagi mereka yang mengetahui keenakan bahan berkenaan. Tidak terhad setakat itu, pengunjung boleh memesan tom yam daging, tom yam perut, tom yam limpa, tom yam paru dan aneka tom yam yang berperisa tempatan.

“Walaupun Eiman menghidangkan tom yam yang sering dikaitkan dengan masakan Thai, tom yam di Eiman berperencah tempatan disediakan tukang masak yang dilatih khusus dalam penyediaan masakan ala Thai. Paling penting, kami menggunakan bahan halal dan mendapat bekalan bahan masakan daripada pembekal yang diyakini,” katanya.

Menu lain yang mencuri selera pengunjung di restoran itu antara lain nasi goreng Pattaya yang ditampilkan dalam wajah baru iaitu menggunakan lauk berasingan yang disiram di atas bungkusan telur.

“Nasi Pattaya mengingatkan kita kepada nasi goreng bercampur isi ayam atau daging yang dibungkus di dalam telur dadar. Berbeza dengan nasi Pattaya yang sedia ada, nasi Pattaya Eiman disertakan dengan lauk tambahan seperti daging berkuah lada hitam atau ayam masak merah yang menyuntik kelainan pada hidangan itu.

SIAKAP masak masam manis begitu menyelerakan.

“Ada 55 jenis nasi goreng yang boleh dipesan pengunjung bergantung kepada selera masing-masing. Kami cuba sedaya upaya menyajikan yang terbaik untuk anda,” katanya.

Susun atur restoran yang didominasi warna hijau mencetus keselesaan kepada pengunjung lebih-lebih lagi dengan adanya binaan gazebo pada bahagian tengah restoran yang memberi pilihan kepada pengunjung sama ada ingin menikmati hidangan ala kampung secara bersila atau duduk di kerusi empuk.

“Situasi berkenaan sengaja kami wujudkan supaya pengunjung ada pilihan dan berasa selesa untuk menikmati hidangan bersama keluarga. Kadang-kadang ada pengunjung yang mencari nostalgia mengimbau kenangan di kampung makan bersama keluarga dalam suasana riuh rendah, itulah yang kami cuba terapkan,” katanya.

Ahmad Zahidi berkata, bayaran menggunakan kad kredit juga diterima, tetapi tertakluk kepada jumlah tertentu, manakala pemegang kad keahlian Eiman tom yam akan mendapat potongan harga 10 peratus pada setiap pembelian berharga RM50 ke atas.

INFO

Eiman Tom Yam House

Sajian:
Menyajikan pelbagai jenis tom yam dan nasi goreng.

Kemudahan: Selain tandas, terdapat surau berasingan untuk pengunjung lelaki dan wanita.

Kapasiti: 50 orang (aras bawah) 100 orang (aras atas)

Waktu perniagaan: 10 pagi hingga 12 malam (setiap hari)

Kapasiti: 160 pengunjung pada satu masa.

Lokasi: No 40 & 42, Jalan Opera LU 2/L, Taman TTDI Jaya, Seksyen U2, Shah Alam

Telefon: 016-2737360 atau 03-78422360

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ratu/20090606095047/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...