Sunday, June 7, 2009

Jepun hasilkan vaksin H1N1


TIGA pelajar membawa bunga dalam satu majlis kesyukuran selepas mereka pulih daripada virus H1N1.

TOKYO: Jepun merancang mengeluarkan vaksin selesema H1N1 yang cukup untuk merawat 20 juta orang menjelang akhir tahun ini, lapor akhbar Yomiuri, semalam.

Jepun memiliki 410 kes disahkan selesema bentuk baru itu walaupun kebanyakannya sudah pulih dan tiada pesakit menunjukkan tanda serius, kata Kementerian Kesihatan.

Ketika kebanyakan kes selesema H1N1 di seluruh dunia sederhana, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada negara terbabit supaya bersedia menghadapi jangkitan lebih serius jika virus itu bermutasi.

Setakat ini, 20,000 kes selesema babi dicatatkan di seluruh dunia dengan 126 kematian. Pengeluar ubatan Jepun akan mula mengeluarkan vaksin selesema jenis baru itu seawal Julai dengan vaksin boleh diperoleh mulai November, kata akhbar.

Menteri Kesihatan, Yoichi Masuzoe, berkata Jepun memerlukan lebih banyak masa bagi membuat keputusan berhubung perincian pengeluaran dos vaksin terbabit.

"Institut Penyakit Berjangkit Nasional akan berupaya memberi pengeluar vaksin awal sekitar 10 Jun ini," kata Masuzoe kepada media apabila diminta mengulas laporan akhbar.

Namun, beliau juga berkata: "Kita perlu melihat WHO dan negara lain membuat perancangan mereka, jadi saya fikir ia akan mengambil lebih banyak masa."

Hanya ada empat pengeluar ubat di Jepun yang dapat mengeluarkan vaksin itu, kebanyakannya pertubuhan penyelidikan dan bukan syarikat farmasi besar.

Untuk mengeluarkan vaksin virus baru itu, mereka perlu memperuntukkan beberapa sumber dari pengeluaran vaksin bagi selesema bermusim biasa.

Akhbar Yomiuri memetik seorang pegawai Kementerian Kesihatan sebagai berkata pihaknya membuat keputusan supaya pengeluar benih mula menghasilkan vaksin virus baru bulan ini selepas anggaran menunjukkan vaksin selesema bermusim cukup untuk merawat 30 hingga 40 juta penduduk.

Ketua Setiausaha Kabinet, Takeo Kawamura, pula memberitahu sidang media bahawa masih terlalu awal bagi Jepun mengisytiharkan tamatnya wabak selesema baru, menolak gesaan dari Kementerian Pengangkutan di tengah kebimbangan wabak itu menjejaskan sektor pelancongan. - Reuters

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090606011518/Article/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...