2010/06/23
KLANG: Sekumpulan 30 warga Bangladesh mendakwa terpaksa mengikat perut selain terpaksa meneguk air paip bagi meneruskan hidup kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan berikutan tidak dibayar gaji.
Mereka yang bekerja di sebuah kilang kayu di Meru, dekat sini, mendakwa dikerah bekerja dengan teruk namun gaji tidak dibayar dan setiap kali menuntut gaji, mereka dilayan dengan kasar oleh majikan.
Berikutan tidak tahan dengan layanan tidak berperikemanusiaan itu, mereka merayu campur tangan pihak berkuasa untuk dihantar pulang ke negara asal.
Wakil pekerja terbabit, Abdul Malak Elahibox, 28, mendakwa majikan juga tidak mahu menyerahkan pasport apabila mereka meminta dihantar pulang menyebabkan mereka sepakat membuat laporan polis.
“Kami dianiaya. Mana kami nak dapat wang untuk beli makan selepas tidak dibayar gaji.
“Kami bekerja tanpa dibayar gaji sejak dua setengah bulan lalu. Nak pulang pun tak dapat kerana tiada wang manakala pasport kami dipegang,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Meru, di sini, petang semalam.
Jakaria Samsul Haque, 23, berkata oleh kerana tidak mendapat gaji tetap, dia terpaksa meminta belas kasihan daripada rakan senegara yang bekerja di tempat lain untuk meminjam duit.
“Dua tiga hari ini, kami semua terpaksa berlapar dan bergantung kepada air paip kerana tak ada wang untuk beli makanan.
“Saya sedih dengan apa yang terjadi dan berharap dapat pulang ke negara asal secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusop ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pengadu dan majikan untuk menyelesaikan masalah itu secara baik selepas menerima laporan. “Kami akan merujuk kepada kedutaan Bangladesh dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
“Kita dapati kes ini tiada unsur jenayah tetapi lebih kepada masalah kontrak tetapi saya ingin menasihati majikan yang menggaji pekerja asing supaya tidak mengambil kesempatan dengan menganiaya dan tidak membayar gaji pekerja mereka,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/30buruhkilangkayukebuluran/Article
No comments:
Post a Comment