Wednesday, June 23, 2010

Geng kunci pendua

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

2010/06/23

IPOH: Bergerak dalam kumpulan melebihi 10 orang, satu sindiket pecah rumah dan curi kereta dikenali Geng Ah Kau bukan saja tidak meninggalkan sebarang jejak ketika melakukan aktiviti berkenaan, sebaliknya mempunyai kepakaran tersendiri membuat kunci pendua bagi memecah masuk rumah dan kereta mangsanya.

Kumpulan itu dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan sejak enam bulan lalu membabitkan lebih 10 kes pecah rumah dan curi kereta.


Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi, 20 Jun lalu di sebuah rumah di Bandar Seri Botani, sepasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Balai Polis Simpang Pulai serta Kampung Rapat berjaya menahan ketua kumpulan sindiket itu dikenali sebagai Ah Kau bersama enam lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 32 tahun di rumah berkenaan.


Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya percaya kumpulan itu mempunyai kepakaran tersendiri terutama membuat kunci pendua bagi memudahkan siri rompakan rumah dan curi kereta dilakukan.


Katanya, penemuan alat pembuat kunci pendua serta binokular dan beberapa set walkie talkie ketika serbuan membuktikan kumpulan itu teliti dan licik.


Katanya, puluhan kunci rumah serta kereta yang digunakan untuk memecah masuk kenderaan dan rumah sasaran juga ditemui.


“Antara hasil rampasan ditemui termasuk 21 telefon bimbit, lima senjata tajam termasuk tiga pedang samurai serta peralatan elektrik termasuk dekoder Astro,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Selain itu, polis menemui semula lapan kereta pelbagai jenama iaitu dua Proton Perdana; dua Proton Waja dan masing-masing sebuah Toyota Camry, Proton Wira, Honda Civic dan Honda Jazz membabitkan nilai keseluruhan mencecah RM500,000.


Katanya, pihaknya percaya kumpulan itu sudah menjual sebahagian daripada kereta curi berkenaan dan lapan kereta dirampas dipercayai diuruskan suspek untuk dijual kepada orang awam.


Katanya, kebanyakan suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan curi kereta.


“Kami masih mengesan dua ahli kumpulan dikenali sebagai Specky serta Ah Seng masing-masing berusia 25 dan 24 tahun,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Firdaus di talian 019-5718435 bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gengkuncipendua/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...