2010/06/23
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar negara ini yang menuntut di University of Sunderland, London, cedera di seluruh badan termasuk patah dua gigi depan akibat dibelasah sekumpulan samseng mabuk di sana yang berang kerana pasukan bola sepak England hanya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan Piala Dunia menentang Algeria, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Khairul Hasfarisi Abu Hassan (gambar), 24, dikatakan sedang berjalan pulang ke kediamannya selepas menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan apabila tiba-tiba sekumpulan lima samseng berusia antara 17 dan 20 tahun menyerangnya di SP Marks Road, Sunderland, jam 11.40 malam (waktu United Kingdom).
Khairul Hasfarisi ketika dihubungi Harian Metro semalam, berkata dia tidak menyangka perkara begini boleh berlaku kepadanya.
“Saya memang sudah nampak sekumpulan lelaki mabuk yang bising marah-marah selepas pasukan bola sepak England bermain buruk pada hari itu.
“Tiba-tiba mereka yang mabuk membaling tin arak ke arah kepala saya...tetapi saya sempat mengelak. Tindakan saya mengelak balingan tin arak itu menyebabkan mereka geram lalu mengejar saya,” kata pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Sistem Perangkaian itu.
Menurutnya, dua daripada lima lelaki itu kemudian menariknya hingga terjatuh sebelum memijak kepala dan hampir seluruh badannya.
Dalam keadaan kelam-kabut mempertahankan diri, kata Khairul Hasfarisi, mulutnya ditumbuk bertubi-tubi sehingga menyebabkan dua batang gigi atas bahagian depan patah.
Katanya, dia dibelasah hampir 10 minit sebelum tidak sedarkan diri dan terbaring di tengah jalan.
“Saya tersedar beberapa minit kemudian dan dalam keadaan sakit serta mulut berdarah saya berjalan ke rumah. Sebaik tiba di rumah saya menghubungi polis sebelum ambulans datang membawa ke hospital berdekatan.
“Ini pengalaman terburuk sepanjang sembilan bulan menuntut ilmu di sini (England). Syukur Alhamdulillah ujian sinar-X mendapati saya tidak mengalami kecederaan dalaman yang teruk,” katanya yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di United Kingdom, Profesor Madya Dr Rosman Abdullah, berkata pihaknya hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi media.
Menurutnya, MSD akan menyiasat kejadian terbabit sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Patah2gigi/Article
No comments:
Post a Comment