ISU kekurangan gula perlu ditangani dengan berkesan untuk mengelak bebanan kepada pengguna yang memerlukan gula apatah lagi bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan. Tahun ini, kekurangan gula berlaku lebih awal. Tahun lalu menjelang Ramadan, beberapa negeri kekurangan gula termasuk Perlis yang terkenal sebagai pengeluar gula di negara kita.
Tahun ini, belum pun tiba Ramadan, gula sudah kurang dan kita tidak pasti adakah kekurangan ini akan berlaku lagi menjelang Ramadan dan Syawal nanti. Walaupun pelbagai kempen berkaitan gula diuar-uarkan kerajaan untuk mengingatkan rakyat tentang pentingnya menjimat atau mengurangkan gula, tetapi sesiapa saja tetap mahukan gula kerana ia keperluan harian untuk tubuh manusia.
Kita lihat kempen berkaitan gula hanya muncul ketika berlaku kekurangan gula. Mulalah kita mencipta pelbagai slogan termasuk ‘kurangkan gula dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman’ untuk mempengaruhi orang ramai mengurangkan gula. Apabila berlaku kekurangan gula, sesetengah pekedai pula tidak mempamerkan gula yang ada di premis mereka sebaliknya meletakkan di bawah meja dan ada yang menjual kepada pelanggan yang sering membeli di kedai mereka saja.
Satu kes yang berlaku di Negeri Sembilan, pengguna yang ingin mendapatkan gula mesti membeli barangan di kedai tersebut melebihi RM100, jika tidak gula tidak akan dijual. Ini bermakna di kedai berkenaan ada gula, tetapi ada syarat untuk mendapatkannya. Ada pekedai yang hanya membenarkan setiap pengguna membeli sekilogram gula setiap kali pembelian dilakukan. Jika seseorang itu mahukan banyak gula, terpaksalah mereka membawa anak-anak ke kedai untuk mendapatkannya.
Bercakap soal gula, pelbagai penyakit akibat lebihan gula kita gembar-gemburkan supaya orang ramai tahu kesan negatif penggunaan gula berlebihan. Apa yang dipersoalkan, segala macam kempen dan peringatan itu dibuat sebaik saja bekalan gula kurang. Oleh itu, sesetengah syarikat pengeluar minuman botol dan tin pun pening memikirkan kadar jualan syarikat mereka berkurangan kerana minuman mereka banyak gula.
Apabila bekalan gula pulih kempen dan segala macam peringatan itu pun turut senyap sehingga melalaikan orang ramai bahawa kekurangan ini akan berulang lagi. Malah, pelbagai penyakit kronik kesan penggunaan gula berlebihan pun tidak dipedulikan lagi. Syarikat pengeluar minuman dalam tin dan botol yang banyak gula boleh mengukir senyuman semula kerana tidak ada lagi kempen tersebut dan orang sudah lupa kesan negatif mengamalkan minuman yang banyak gula.
Ura-ura kekurangan bekalan gula selalunya disertai dengan pembelian panik pengguna. Mereka membeli dengan kadar banyak, mereka mengumpul gula seolah-olah bekalan gula tidak akan pulih beberapa bulan. Peniaga pula sibuk menyembunyikan gula dengan harapan harganya akan naik dan mereka akan menjualnya selepas pengumuman kenaikan harganya dibuat. Umum gula naik harga jam 12 tengah malam, esok pagi sudah banyak gula di premis perniagaan mereka.
Tangkapan demi tangkapan yang dibuat termasuk denda yang dikenakan tidak pernah meninggalkan kesan kepada peniaga. Tangkap di sana, di sini sembunyi gula, tangkap di sini, di sana pula terbongkar kegiatan menyorok gula.
Pemantauan ke atas bahan penting ini mesti dibuat secara berterusan. Selain kempen mengurangkan penggunaan gula yang mesti dilakukan secara berterusan, pemantauan terhadap penyeludupan gula ke negara jiran mesti dilakukan apatah lagi jika harga gula di negara jiran lebih mahal.
Dalam beberapa kes yang dilaporkan baru-baru ini, gula diseludup ke Thailand kerana harga gula di negara tersebut RM2.50 sekilogram. Orang yang inginkan keuntungan sanggup berbuat apa saja tanpa mengira masalah yang dipikul pengguna di negara sendiri.
Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sekitar tahun 70-an, kebanyakan rakyat Malaysia mengambil 17 sudu teh gula sehari, bertambah menjadi 21 sudu sekitar 80-an dan 90-an kemudian menjadi 26 sudu pada masa ini.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula hanya menetapkan setiap orang mesti mengambil gula 50 gram atau 10 sudu teh sehari sedangkan kebanyakan kita mengambil lebih banyak daripada had yang ditetapkan itu.
Oleh yang demikian, kesedaran individu mengenai keburukan pengambilan gula berlebihan mesti ada untuk membantu menangani masalah kekurangan gula. Yang jelas, pelbagai penyakit boleh hinggap pada diri kita jika terlebih gula. Malah, tidak hairanlah orang telah melabelkan kebanyakan kita mati kerana terlebih makan, sedangkan di negara lain orang mati kerana tidak cukup makanan.
Sejak penduduk di negara kita bertambah, termasuk kepandaian kita membuat pelbagai jenis kuih, mencipta pelbagai resipi baru, sama ada makanan dan minuman yang melibatkan gula, penggunaan gula kian bertambah dari semasa ke semasa. Oleh itu gula sering mendapat permintaan tinggi terutama pengusaha makanan. Menjelang musim perayaan, peniaga termasuk mereka yang terlibat dengan penjualan di bazar, segala macam kuih dan biskut memerlukan gula.
Kempen antisorok yang dilancarkan pada 1974 mesti diperkemas dan diaktifkan serta kerjasama orang ramai diperlukan untuk membendung masalah penindasan peniaga terhadap pengguna. Iklan mengenai gula dan masalahnya mesti kerap diadakan menerusi media massa dengan harapan dapat mengingatkan orang ramai tentang masalah ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mesti menambah jumlah anggota untuk memantau barang keperluan terutama gula supaya pengguna tidak memikul beban. Serbuan dan tangkapan mesti dilakukan selepas membuat intipan atau setelah menerima aduan daripada pengguna supaya masalah ini dapat dikurangkan.
Kementerian juga mesti mengawasi pelbagai jenis barang keperluan lain seperti minyak masak dan tepung yang sering berkurangan di pasaran pada waktu tertentu terutama menjelang musim perayaan. Jika kekurangan gula ada kaitan dengan kekurangan pengeluaran gula berbanding permintaan, kawasan tanaman tebu mesti diperluas atau dipertingkat hasilnya. Penting juga, kadar pengambilan dan penggunaan gula mesti dikawal setiap orang supaya penyakit berkaitan gula tidak hinggap di tubuh badan kita.
Penulis ialah seorang guru dan penulis bebas.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Isugulasampaibila_/Article
No comments:
Post a Comment