2010/06/23
PETALING JAYA: Keengganan bercerai dengan isterinya iaitu dramatis popular Aida Radzwil menyebabkan penyanyi Joe Radzwil memfailkan penyata pembelaan dan tuntutan balas serta perintah kembali taat terhadap permohonan pembubaran perkahwinan atau fasakh yang difailkan pelakon itu, April lalu.
Joe atau nama sebenarnya Ismail Ahmad @ Mohd Radzwill, 39, diwakili peguam Roslizam Rahim memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.
Joe (defendan) dalam penyata pembelaannya menafikan bahawa dia pernah curang terhadap Aida (plaintif) dan pernyataan plaintif itu adalah fitnah untuk memburuk-burukkan defendan semata-mata, sebaliknya mempunyai kesedaran akan tanggungjawabnya sebagai suami dan tidak pernah mengabaikan rumah tangga seperti yang didakwa plaintif.
Penyanyi itu memohon mahkamah memerintahkan plaintif kembali taat kepadanya selaku defendan sebagai suami yang sah mengikut hukum syarak dalam masa 14 hari dan sekiranya plaintif ingkar, defendan memohon mahkamah dan/atau membuat deklarasi bahawa plaintif nusyuz. Dia turut memohon mahkamah mengenepikan tuntutan fasakh Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, 52, yang difailkan berdasarkan Seksyen 53 1(b)(h)(i)(ii)(l) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Aida memakai jubah kuning dan Joe yang memakai kemeja kelabu hadir secara berasingan ke mahkamah ditemani beberapa rakan masing-masing. Dalam tuntutan balasnya, Joe turut menegaskan bahawa plaintif seorang isteri yang nusyuz mengikut hukum syarak apabila gagal dan/atau cuai menjalankan kewajipan sebagai isteri terhadap defendan dan mendakwa plaintif sering pulang lewat ke rumah sehingga jam 2 hingga 3 pagi. Defendan juga menyatakan bahawa disebabkan kesibukan itu plaintif bersikap dingin dalam hubungan kelamin terhadap defendan sejak empat tahun lalu dan sering mengelakkan diri daripada tidur bersama defendan tanpa alasan yang munasabah.
Di samping itu, plaintif cuai/atau gagal menjaga defendan sebagai suaminya kerana defendan pernah dimasukkan ke hospital selama dua hari, tapi plaintif tidak pernah melawat atau menjenguk defendan sepanjang tempoh itu dengan alasan sibuk berlakon. Selanjutnya, defendan menegaskan bahawa plaintif seorang isteri yang tidak jujur dalam perkahwinan kerana pernah memberitahu defendan bahawa plaintif berada di Kota Bharu, Kelantan atas urusan kerja sebaliknya pada masa yang sama defendan mempunyai pengetahuan mengenai kereta plaintif berada di The Curve, Damansara dan di Bangsar Village, dekat sini, pada masa itu.
Defendan juga menyatakan bahawa sehingga kini plaintif sering melakukan perbuatan dan tindakan berunsur provokasi seperti mengejutkan defendan dari tidur jam 3 atau 4 pagi untuk berbincang mengenai rumah tangga dengan niat untuk mendatangkan kemarahan defendan.
Manakala dalam penyata pembelaannya pula, Joe menafikan semua dakwaan Aida dalam pernyataan tuntutannya dan meletakkan beban pembuktian yang kukuh dan/atau ketat terhadap plaintif.
Peguam Nahar Alias yang mewakili Aida bagaimanapun memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi pihaknya menjawab tuntutan balas terhadap plaintif. Roslizam turut menyatakan anak guamnya tidak hadir ke mahkamah pada prosiding lalu kerana hanya menerima notis saman pada hari yang sama dengan tarikh prosiding iaitu 11 Mei lalu.
Menurutnya, pihak plaintif sepatutnya menghantar notis berkenaan sekurang-kurangnya tujuh hari awal daripada tarikh prosiding mahkamah.
Hakim Mohamad Yusri Kassim kemudian menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula kes. Ketika ditemui di luar mahkamah, Joe mengakui bukan senang untuk dia melepaskan Aida selepas mereka berkahwin hampir lapan tahun.
Aida memfailkan permohonan fasakh itu pada 27 April 2010 selepas lapan tahun berkahwin dengan penyanyi berkenaan.
Aida menyatakan beberapa alasan iaitu mendakwa suaminya gagal memberi nafkah lebih dari tiga bulan dan defendan lazim menyakiti dan menjadikan hidup plaintif menderita.
Selain itu, defendan didakwa berperangai keji kerana tidak mengikut hukum syarak serta wujud perbalahan berpanjangan antara mereka berdua.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayatakcurang_Joe/Article
No comments:
Post a Comment