2010/06/23
KUALA LUMPUR: “Saya tidak akan memaafkannya walaupun dia mahu pulang semula ke pangkuan kami,” kata ibu kepada tiga anak yang ditinggalkan suami selepas melarikan diri daripada ugutan lebih 10 ceti haram (along), Sabtu lalu.
Pilu hati seorang isteri apabila suami yang dikahwininya sejak 30 tahun lalu hanya meninggalkan sekeping nota memohon maaf kerana dia tidak mampu melangsaikan hutang along yang terlalu banyak dan meminta tidak mencarinya lagi.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Lau Y K, 55, mendakwa pernah melangsaikan lebih RM80,000 hutang along yang dipinjam suaminya sejak 2008.
“Semua duit simpanan kami anak beranak sudah habis, malah saya terpaksa meminjam dengan sanak saudara dan kawan-kawan untuk melangsaikan hutangnya itu. Selepas semua harta kami tergadai, dia berjanji tidak akan meminjam dengan along lagi.
“Bagaimanapun, saya amat kecewa apabila mendapat tahu suami kembali berhutang dengan along dan tidak dimaklumkan berapa jumlah pinjamannya kali ini,” katanya pada sidang media di Wisma MCA semalam.
Difahamkan, suaminya, Liew Eng Far, 55, meninggalkan rumah sehelai sepinggang. Mangsa tidak menolak kemungkinan suaminya yang bekerja sebagai subkontraktor turut terbabit pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2010.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa bersama-sama tiga anaknya keluar dari rumah untuk melawat seorang saudaranya di Bukit Tinggi, Pahang, dekat sini kira-kira jam 8 pagi dan pulang semula ke rumah mereka di Subang Jaya, kira-kira jam 7 malam.
“Apabila tiba di rumah, saya melihat ada sekeping kertas putih yang diletakkan di atas meja makan. Saya amat terkejut selepas membaca kandungan nota yang ditinggalkan itu. Saya cuba menghubunginya tetapi gagal. “Tiba-tiba kami didatangi tiga lelaki menjerit-jerit dan memaki hamun dari luar rumah. Saya menjelaskan kepada mereka suami tiada di rumah tetapi saya turut diugut agar mencari suami saya sehingga dapat,” katanya.
Difahamkan, mangsa seorang suri rumah kini terpaksa mencari pekerjaan bagi menyara kehidupan tiga anaknya yang masih bersekolah dan melangsaikan beberapa hutang sebelum ini.
“Saya tidak akan berpindah dan tidak takut dengan ugutan dan ancaman along terbabit. Kenapa perlu takut kerana saya tidak bersalah, demi anak-anak kerana bimbang pelajaran mereka akan terjejas,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Engganmaafsuami/Article
No comments:
Post a Comment