Wednesday, June 23, 2010

PDRM minta bantuan Interpol, Aseanpol

2010/06/23

MIRI: Melarikan diri dan bersembunyi di luar negara tidak bermakna tujuh bookie bola sepak Piala Dunia 2010 termasuk seorang bergelar Datuk terselamat daripada terus menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia.

Malah, polis akan terus memburu penjenayah terbabit dengan bantuan pihak berkuasa di luar negara khususnya Interpol dan Aseanpol.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan segala kepakaran Unit Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Cawangan Khas (SB) untuk mengesan suspek.


“Mereka lari ke luar negara tidak bermakna mereka boleh sembunyi buat selama-lamanya, kerana hubungan pihak berkuasa dengan negara jiran dan pihak polis antarabangsa melalui risikan dan sebagainya adalah cukup baik.


“Mereka boleh lari, tapi tidak mungkin akan dapat bersembunyi selama-lamanya,”
katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Miri, di sini, semalam.


Menurut Hishammuddin, usaha mengesan individu terbabit perlu kerana kemungkinan mereka turut terbabit dalam kegiatan jenayah lain yang mendedahkan negara ini kepada pelbagai ancaman lain seperti keganasan, pemerdagangan manusia dan pemalsuan wang haram.


“Penjenayah ini boleh mengeksploit sepenuhnya kemudahan dunia tanpa sempadan menerusi wang yang mereka peroleh daripada kegiatan berkenaan,” katanya.


Katanya, jumlah pertaruhan judi bola di setiap negara di Asia mencecah A$10 bilion. Semalam polis mendedahkan pertaruhan judi bola di Malaysia sejak 11 Jun lalu membabitkan nilai RM300 juta.


Melalui Ops Soga di seluruh negara, polis sudah melakukan 156 serbuan dan menahan 120 anggota sindiket pertaruhan haram termasuk bookie serta kaki judi berusia 15 hingga 73 tahun.


Terdahulu, Hishammuddin berada di Sarawak sempena dalam rangka lawatan meninjau keperluan asas untuk pasukan keselamatan di Sarawak yang dijanjikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Antara yang diberi keutamaan bagi polis kontinjen Sarawak termasuk kebajikan, jenayah dan sosial.


Berhubung permohonan MyKad di Sarawak, Hishammuddin berkata, banyak permohonan sudah diterima dan proses kelulusan kini berjalan lancar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PDRMmintabantuanInterpol_Aseanpol/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...