Tuesday, November 9, 2010

Abim rayu dana RM250,000

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melancarkan kempen rayuan dana sebanyak RM250,000 yang diperlukan bagi membantu mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan.

Presiden Abim, Dr Muhamad Razak Idris berkata, misi kemanusiaan itu digerakkan melalui Skuad Prihatin Abim yang juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terawal membantu mangsa banjir di negeri terbabit.


Menurutnya, misi kemanusiaan fasa pertama bermula pada 4 hingga 7 November diketuai Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (Kesihatan Abim), Dr Mohd Saifullah Al Hany dan 30 sukarelawan Abim dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah serta Perlis.

“Bantuan fasa pertama yang disalurkan seperti air mineral, beras dan makanan kering berjumlah RM15,000,” katanya.


“Selain itu, pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diberikan kepada mangsa banjir di beberapa daerah di Perlis,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan mutakhir banjir dan pelancaran kempen rayuan dana untuk membantu mangsa banjir di Bilik Operasi Skuad Prihatin ABIM.


Hadir sama, Penolong Setiausaha Agung Abim, Maria Kamel; Penolong Pengurus Jabatan Antarabangsa Kemanusiaan dan Alam Sekitar Abim, Mohd Shakir Fahmi Fakrulrazi; Eksekutif Unit Media dan Teknologi Maklumat Abim, Mohd Firdaus Md Hamsin; Ketua Misi Kemanusiaan Kedah, Syamsulmuddin Ahmad Shah dan sukarelawan Skuad Prihatin Abim.

Dr Mohd Saifullah berkata, pihaknya akan menghantar bantuan seterusnya pada 12 hingga 14 November ini diketuai Setiausaha Biro Kesihatan Abim, Dr Shahrizal Azwan Shamsudin dan Dr Zafri Ismail.


Sehubungan itu, orang ramai, NGO, badan korporat dan agensi terbabit diharap bermurah hati menyalurkan dana membantu meringankan beban 60,000 mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Selain itu, masjid di seluruh Malaysia diharap sudi bekerjasama memperuntukkan sebahagian kutipan solat Jumaat pada bulan ini bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.


Sumbangan boleh dibuat ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad No. 14023010027432 atau melalui cek atas nama Angkatan Belia Islam Malaysia.


Pertanyaan lanjut hubungi Mohd Syakir di talian 013-3877722 atau Noraliza Effendy, 013-2128466/ 03-41084500.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AbimrayudanaRM250_000/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...